Selasa, 25 Februari 2020 | 10:28am
SEBAHAGIAN wakil media berkumpuldi hadapan pintu masuk 2 Istana Negara berikutan dipercayai Ahli Parlimen akan mengadap Yang Dipertuan Agong di Istana Negar, Jalan Dutaa. NSTP/Hairul Anuar Rahim
SEBAHAGIAN wakil media berkumpuldi hadapan pintu masuk 2 Istana Negara berikutan dipercayai Ahli Parlimen akan mengadap Yang Dipertuan Agong di Istana Negar, Jalan Dutaa. NSTP/Hairul Anuar Rahim

Ahli Parlimen menghadap Agong?

KUALA LUMPUR: Beberapa Ahli Parlimen dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di sini, pagi ini.

Kunjungan dipercayai bertujuan menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak bagi membentuk kerajaan baharu, susulan peletakan jawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam.

Difahamkan, kunjungan menghadap akan dimulakan kumpulan pertama merangkumi beberapa wakil rakyat Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Ahli Parlimen dari Semenanjung yang dijangka tiba jam 11 pagi ini.

ISTANA Negara.
ISTANA Negara.

Kumpulan kedua membabitkan Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak dijangka tiba jam 2 petang ini.

Baginda dikatakan akan bertemu mereka seorang demi seorang untuk mengetahui pakatan yang disokong.

Proses sama akan dilakukan esok dan lusa sehingga Yang di-Pertuan Agong berpuas hati ada parti yang mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan.

Difahamkan, proses mendapatkan pendirian setiap Ahli Parlimen akan bermula dengan wakil daripada PAS, diikuti UMNO.

Pendekatan sama pernah digunakan untuk mengatasi kemelut politik di Perak pada 2009 apabila kerajaan Pakatan Rakyat (ketika itu) hanya bertahan sembilan bulan selepas dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR dan seorang ADUN DAP mengisytiharkan keluar parti dan menyokong Barisan Nasional (BN).

Semalam, Yang di-Pertuan Agong membatalkan pelantikan semua menteri atas nasihat Perdana Menteri, selaras peruntukan Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan, seiring peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Sehubungan itu, tugas anggota pentadbiran merangkumi timbalan perdana menteri, menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik turut terhenti pada tarikh sama.

Selain itu, Yang di-Pertuan Agong melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim mengikut Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Berita Harian X