Selasa, 25 Februari 2020 | 10:05pm
Kenderaan membawa ahli parlimen keluar dari Istana Negara. NSTP/ASWADLI ALIAS.
Kenderaan membawa ahli parlimen keluar dari Istana Negara. NSTP/ASWADLI ALIAS.

Hari ketiga: Kronologi kemelut politik negara

9 malam: Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Aminolhuda Hassan menafikan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu menyokong Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerajaan baharu.

8.15 malam: Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menyatakan bahawa BN dan PAS menarik balik akuan bersumpah (SD) menyokong Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

8.15 malam: Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Samad yakin Pakatan Harapan (PH) memiliki sokongan mencukupi untuk menubuhkan kerajaan sekaligus, tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU).

6.58 petang: Bekas Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail tiba di ibu pejabat PKR untuk menghadiri mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), jam 6.58 petang. Terdahulu, Naib Presiden PKR, Datuk Dr Xavier Jayakumar tiba bagi menghadiri mesyuarat itu.

6.49 petang: BN, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan PAS berpendirian supaya Dewan Rakyat dibubarkan bagi menyelesaikan kemelut yang melanda negara ketika ini. Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata pendirian itu sudah dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam pertemuan di Istana Negara.

6 petang: Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad kembali semula ke kediamannya di Seri Kembangan selepas selesai menjalankan tugas di pejabatnya, Putrajaya.

Pengerusi DAP, Lim Kit Siang. Foto NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Pengerusi DAP, Lim Kit Siang. Foto NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

5.25 petang: Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tiba di ibu pejabat PKR untuk menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH.

5 petang: Beberapa pemimpin kanan DAP dan AMANAH tiba di ibu pejabat PKR untuk menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH. Ini termasuk Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

4.28 petang: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ahli Parlimen Gua Musang daripada BN, Tengku Razaleigh Hamzah, meninggalkan pekarangan Istana Negara. Selain itu, sekumpulan ahli parlimen daripada PAS dilihat meninggalkan pekarangan istana dengan menaiki bas.

3.47 petang: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, tiba di Bangunan Perdana Putra untuk berjumpa dengan Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad.

3.35 petang: Semua ahli parlimen Barisan Nasional (BN) memasuki Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

3 petang: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow tiba di kediaman rasmi Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, di Seri Mutiara bagi memaklumkan perkembangan semasa politik di Pulau Pinang.

2.30 petang: 90 Ahli Parlimen dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

2.15 petang: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meninggalkan Bangunan Perdana Putra kira-kira jam 2.15 petang menaiki kereta berasingan.

1.50 petang: Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali keluar dari Bangunan Perdana Putra selepas bertemu dengan Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad.

1.40 petang: Kenderaan yang membawa Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin keluar dari Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, selepas berjumpa dengan Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir di pejabatnya di Putrajaya selepas dilantik semula sebagai Perdana Menteri Interim .GAMBAR IHSAN FACE BOOK DR. MAHATHIR MOHAMMAD
Dr Mahathir di pejabatnya di Putrajaya selepas dilantik semula sebagai Perdana Menteri Interim .GAMBAR IHSAN FACE BOOK DR. MAHATHIR MOHAMMAD

12.50 tengah hari: Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad memuat naik di laman Facebooknya, tiga gambar sedang bekerja di mejanya di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Beliau memuat naik status “Just another day in the office. @ PMO Malaysia”

12.15 tengah hari: Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, mempengerusikan mesyuarat khas bersama ketua setiausaha kementerian, sehari selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, membatalkan pelantikan semua menteri atas nasihat Perdana Menteri.

12.07 tengah hari: Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad yakin tidak akan berlaku situasi kerajaan tergantung di negeri itu kerana pasti akan ada sokongan majoriti terhadap kerjasama parti politik sedia ada.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad (tengah) bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Johor sebelum memulakan mesyuarat berhubung perkembangan politik semasa di Pejabat UMNO Johor. - Foto ZAIN AHMED
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad (tengah) bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Johor sebelum memulakan mesyuarat berhubung perkembangan politik semasa di Pejabat UMNO Johor. - Foto ZAIN AHMED

11.40 pagi: Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tiba di Bangunan Perdana Putra. Antara pemimpin lain yang dilihat memasuki bangunan berkenaan ialah Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ahli Parlimen Semberong Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

11.26 pagi: Setiausaha BERSATU, Datuk Marzuki Yahya memasuki pekarangan Pejabat Perdana Menteri.

11.25 pagi: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail meninggalkan Bangunan Perdana Putra.

10.55 pagi: Sebuah kenderaan mewah dipercayai membawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilihat memasuki pekarangan Pejabat Perdana Menteri.

10.25 pagi: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bersama anaknya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar tiba di Bangunan Perdana Putra.

9.30 pagi: Kepemimpinan BERSATU termasuk Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Harun, Ketua Badan Pimpinan BERSATU Terengganu, Datuk Razali Idris dan Penasihat Komunikasi dan Media kepada Dr Mahathir, Datuk Abdul Kadir Jasin meninggalkan kediaman Tun Dr Mahathir Mohamad.

9.29 pagi: Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Bangunan Perdana Putra.

Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad melambai tangan kepada media ketika keluar dari Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada jam 5.47. - Foto MOHD FADLI HAMZAH
Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad melambai tangan kepada media ketika keluar dari Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada jam 5.47. - Foto MOHD FADLI HAMZAH

9.15 pagi: Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad keluar dari kediamannya menuju ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

8.15 pagi: Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Seri Rina Harun tiba di kediaman Dr Mahathir Mohamad di Seri Kembangan.

8.05 pagi: Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di kediaman Tun Dr Mahathir Mohamad, di Seri Kembangan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X