Rabu, 26 Februari 2020 | 10:37am

HARI KEEMPAT: Kronologi kemelut politik negara

5.55 petang: Pakatan Harapan (PH) memutuskan menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri, susulan peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada Isnin. Anwar berkata, PH sudah memohon Dr Mahathir kembali bersama pakatan itu, tetapi ditolak dengan keengganan Perdana Menteri berkenaan hadir mesyuarat yang diadakan malam tadi.

5.30 petang: Kenderaan rasmi yang membawa Tun Dr Mahathir Mohamad difahamkan keluar dari Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

5.09 petang: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berangkat keluar dari Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, Johor Bahru. Proses merekodkan Akuan Bersumpah (SD) semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor berjalan lancar dan selesai kira-kira jam 5 petang tadi. Hanya dua ADUN tidak hadir, iaitu ADUN Simpang Jeram, Datuk Seri Salahuddin Ayub (AMANAH) dan ADUN Puteri Wangsa, yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor, Mazlan Bujang.

5.05 petang: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin menyatakan hasrat menyertai BERSATU. Begitu juga sembilan lagi yang keluar daripada PKR, iaitu Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota); Baru Bian (Selangau); Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak); Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal); Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat); Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat); Ali Biju (Saratok); Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau). Santhara bagaimanapun akan menyertai sebagai ahli bersekutu.

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam perutusan khasnya di Bangunan Perdana Putra. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam perutusan khasnya di Bangunan Perdana Putra. - Foto BERNAMA

4.45 petang: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam perutusan khasnya bercadang menubuhkan kerajaan campuran demi kepentingan negara yang menolak kepentingan parti politik.

4.25 petang: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan membuat satu pengumuman penting dalam sidang akhbar di ibu pejabat parti di Damansara, dijadualkan jam 4.30 petang.

4.23 petang: Semua Ahli Parlimen daripada DAP dilihat meninggalkan pekarangan Istana Negara, Kuala Lumpur.

4.10 petang: Presiden Parti Solidariti Tanahairku Sabah (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata penyelesaian kemelut politik sekarang adalah membubarkan parlimen, biarkan rakyat tentukan siapa mereka mahu sebagai kerajaan dan perdana menteri.

3.40 petang: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata partinya sudah mengesahkan siapa yang akan disokong sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong tetapi belum boleh diumumkan buat masa ini.

3.10 petang: Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor dilihat mula keluar dari Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, Johor Bahru, selepas pertemuan 10 minit diadakan bersama Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

3.15 petang: Mesyuarat mingguan EXCO dipengerusikan Ketua Menteri, Adly Zahari, berlangsung tanpa kelibat EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan EXCO Perdagangan, Perindustrian dan Pelaburan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen. Difahamkan, Mohd Rafiq yang juga dari BERSATU, berada di Kuala Lumpur atas urusan parti, manakala Muhammad Jailani (PKR) pula gagal dihubungi.

3 petang: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilihat meninggalkan Istana Negara selepas hampir dua jam masuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini. Beliau keluar diiringi 10 lagi kenderaan lain, dipercayai bersama 10 lagi bekas Ahli Parlimen PKR.

2.49 petang: Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal, dilihat memasuki Bangunan Sultan Ibrahim. Semua 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Johor membabitkan Mohd Solihan Badri, Tosrin Jarvanthi (BERSATU), Aminolhuda Hassan, Dzulkefly Ahmad (AMANAH), Mohd Khuzzan Abu Bakar, Jimmy Puah Wee Tse (PKR), Liow Cai Tung, Tan Chen Choon, Sheikh Umar Bagharib Ali dan S Ramakrishnan (DAP) sudahpun ada sejak 1.30 tengah hari tadi.

Kira-kira 30 ADUN Johor juga hadir ke bangunan kecuali ADUN Tebrau, Mazlan Bujang yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Johor, tidak hadir kerana difahamkan berada di Kuala Lumpur.

2.44 petang: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar tiba di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, Johor Bahru bagi bertemu dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor.

2.40 petang: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, memberi jaminan sebarang keputusan diambil Gabungan Parti Sarawak (GPS) berhubung kemelut politik Malaysia adalah demi kepentingan negara. Abang Johari berkata, GPS menetapkan keputusan itu tanpa mengorbankan hak dan kepentingan negeri serta rakyat Sarawak. Beliau berkata demikian dalam kenyataan diedarkan kepada media pada Majlis Amanat Integriti di Miri.

2 petang: Kumpulan 11 bekas Ahli Parlimen PKR diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam kenyataan bersama menyatakan sokongan kepada usaha rekonsiliasi nasional di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri. Usaha rekonsiliasi nasional itu dipercayai merujuk kepada percaturan mewujudkan kerajaan campuran membabitkan beberapa parti tertentu.

1.43 tengah hari: 40 Ahli Parlimen DAP tiba di pekarangan Istana Negara, Kuala Lumpur dengan menaiki bas dan dua kereta.

1.40 tengah hari: Tun Dr Mahathir Mohamad memuat naik gambarnya mempengerusikan mesyuarat bersama pegawai atasan Kementerian Kewangan mengenai Pakej Rangsangan Ekonomi.

1.35 petang: Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan menamakan pemimpin parti itu sebagai Perdana Menteri ke-8 dalam dokumen (Akuan Bersumpah) yang ditandatangani.

1.19 tengah hari: Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Dr Tan Yee Kew, berkata beliau menandatangani akuan bersumpah menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8. Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh juga yakin PKR yakin mendapat sokongan Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan. Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, berkata satu kenyataan media akan dikeluarkan PKR hari ini.

1 tengah hari: Semua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini diminta menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, jam 2 petang ini. Difahamkan, lokasi perjumpaan itu akan diadakan di Bukit Timbalan, di sini. Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor, Mazlan Bujang, ketika dihubungi mengesahkan menerima notis jemputan menghadap itu.

12.59 tengah hari: Keadaan pekarangan Istana Negara agak gamat apabila beberapa Ahli Parlimen daripada PKR bertindak keluar daripada bas dinaiki mereka untuk bertemu kumpulan penyokong parti itu.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar bertemu dengan penyokong PKR selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong di luar perkarangan Istana Negara, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar bertemu dengan penyokong PKR selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong di luar perkarangan Istana Negara, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

12.47 tengah hari: Kumpulan Ahli Parlimen yang menyokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dikatakan masuk ke Istana Negara, Kuala Lumpur menggunakan Pintu 3, pada jam 12.47 tengah hari tadi. Selang seminit kemudian, kumpulan Ahli Parlimen daripada PKR, diketuai Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim beredar meninggalkan Istana Negara.

12.20 tengah hari: Lima kenderaan membawa wakil rakyat, termasuk Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Ahli Parlimen daripada WARISAN, Darell Liking dilihat tiba di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darrel Liking tiba di luar perkarangan pintu Istana Negara 2 di Istana Negara, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darrel Liking tiba di luar perkarangan pintu Istana Negara 2 di Istana Negara, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

12 tengah hari: Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dilihat tiba di Istana Negara, Kuala Lumpur, pada jam 12 tengah hari tadi. Beliau diiringi Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad; Ahli Parlimen Pulai, Datuk Salahuddin Ayob; Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin dan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

11.58 pagi: 10 lagi kenderaan dipercayai membawa Ahli Parlimen dilihat tiba di Istana Negara, Kuala Lumpur.

11.56 pagi: Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dilihat tiba di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Kota Raja, Muhamad Sabu tiba di luar perkarangan pintu Istana Negara 2 di Istana Negara, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Ahli Parlimen Kota Raja, Muhamad Sabu tiba di luar perkarangan pintu Istana Negara 2 di Istana Negara, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

11.20 pagi: Menteri Besar Kedah yang juga Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilihat meninggalkan pekarangan Istana Negara di Kuala Lumpur.

11.05 pagi: Ketua Armada BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memasuki pintu masuk utama bangunan Putra Perdana, Putrajaya, selepas pulang daripada menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Syed Saddiq memasuki Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Syed Saddiq memasuki Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

11.05 pagi: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat meninggalkan pekarangan Istana Negara di Kuala Lumpur.

10.40 pagi: Semua Ahli Parlimen daripada PKR tiba di Istana Negara di Kuala Lumpur menaiki bas dan diiringi 10 kenderaan.

Ahli Parlimen PKR tiba dengan menaiki bas KL Hop-on Hop-Off di luar pekarangan pintu Istana Negara 2 untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur. - NSTP/Aizuddin Saad
Ahli Parlimen PKR tiba dengan menaiki bas KL Hop-on Hop-Off di luar pekarangan pintu Istana Negara 2 untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur. - NSTP/Aizuddin Saad

Ahli Parlimen PKR tiba dengan menaiki bas KL Hop-on Hop-Off di luar pekarangan pintu Istana Negara 2 untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur. - NSTP/Aizuddin Saad
Ahli Parlimen PKR tiba dengan menaiki bas KL Hop-on Hop-Off di luar pekarangan pintu Istana Negara 2 untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur. - NSTP/Aizuddin Saad

Ketibaan kumpulan Ahli Parlimen PKR itu disambut laungan reformasi daripada penyokong parti itu yang turut hadir di pekarangan Istana Negara.

10.27 pagi: Empat kenderaan dipercayai membawa Ahli Parlimen dilihat memasuki Istana Negara di Kuala Lumpur

Sebahagian daripada 2,000 penyokong Pakatan Harapan berhimpun di pintu masuk Kompleks Seri Negeri untuk menyokong Adly Zahari kekal memimpin kerajaan negeri. - NSTP/Hassan Omar
Sebahagian daripada 2,000 penyokong Pakatan Harapan berhimpun di pintu masuk Kompleks Seri Negeri untuk menyokong Adly Zahari kekal memimpin kerajaan negeri. - NSTP/Hassan Omar

9.10 pagi: Ketibaan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari di pintu masuk Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh, disambut kira-kira 2,000 penyokong Pakatan Harapan (PH) yang berhimpun sambil melaungkan slogan ‘reformasi’ dan ‘hidup Adly.’ Adly akan menghadiri pertemuan dengan Tuan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X