Rabu, 26 Februari 2020 | 5:38pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam perutusan khasnya di Bangunan Perdana Putra. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam perutusan khasnya di Bangunan Perdana Putra. - Foto BERNAMA

Dr M cadang pentadbiran tanpa memihak mana-mana parti

PUTRAJAYA: Perdana Menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad, bercadang menubuhkan kerajaan yang tidak memihak kepada mana-mana parti, jika ia dibenarkan.

Dr Mahathir berkata, hanya kepentingan negara sahaja yang akan diutamakan.

“Saya berpendapat betul atau tidak, politik dan parti politik perlu diketepikan buat masa sekarang.

“Jika dibenar saya akan cuba adakan pemerintahan yang tidak memihak kepada mana-mana parti. Hanya kepentingan negara sahaja yang akan diutamakan.

“Jika diizin inilah yang akan saya cuba,” katanya dalam satu rakaman Perutusan Khas yang disiarkan secara langsung sebentar tadi.

Ini adalah kenyataan media pertama daripada Dr Mahathir sejak krisis ini bermula pada Ahad lalu.

Dr Mahathir berkata, situasi politik, orang politik dan parti politik terlalu mengutamakan politik sehingga terlupa negara ketika ini berdepan dan diancam masalah ekonomi dan kesihatan.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong bertitah supaya beliau dilantik sebagai Perdana Menteri sementara dan beliau sedar apa juga yang dilakukannya ketika akan ditentang dan ditolak oleh ramai walaupun mungkin ada yang menyokong.

“Saya tidak cari untuk disukai ramai. Saya hanyalah membuat sesuatu saya anggap baik bagi negara,” katanya.

Beliau yang memulakan ucapan itu dengan meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia berikutan keadaan politik negara yang agak kucar-kacir dan mungkin menimbulkan keresahan, berkata ada banyak sebab di sebalik peletakan jawatannya pada Isnin lalu.

Katanya, cukup baginya menyatakan beliau merasakan kononnya mendapat sokongan daripada semua pihak sehingga tidak dapat memilih, selain beliau dilemparkan tuduhan tidak berniat untuk melepas jawatan dan gila

kuasa.

“Maka saya letak jawatan kerana saya tidak melihat kuasa dan jawatan itu sebagai “be all and end all” adalah matlamat saya. Bagi saya kuasa dan kedudukan itu adalah “a means to an end” atau pun satu alat untuk mencapai objektif. Dan objektif kita semua tentulah untuk kebaikan negara.

“Kerana itu saya meletak jawatan kerana bagi saya ternampak bahawa bagi orang politik yang terpenting ialah parti mana yang memerintah, sama ada yang kalah atau yang menang,” katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau sebenarnya sudah berjanji melepaskan jawatan untuk memberi peluang kepada Dewan Rakyat menentukan siapa yang akan menggantinya.

Katanya, beliau akan kembali jika benar beliau masih disokong dan jika tidak, beliau bersedia menerima siapa sahaja yang dipilih.

Justeru, katanya, peluang untuk menukar kepimpinan memang ada namun beliau berpendapat oleh kerana sokongan diperoleh daripada kedua-dua pihak, masa untuknya meletak jawatan belum tiba.

“Saya minta diberi masa. Tetapi parti saya BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) memutuskan untuk keluar daripada Pakatan Harapan. Ada juga ahli dari parti komponen lain yang akan keluar. Dengan perlakuan ini Kerajaan Pakatan Harapan akan gugur,” katanya.

Dr Mahathir berkata, ekoran itu, jika BERSATU menyokong PAS dan UMNO parti-parti yang kalah akan mendirikan kerajaan dan didominasi oleh UMNO sebagai parti yang terbesar.

Katanya, beliau sanggup menerima ahli UMNO yang keluar UMNO dan menyertai parti lain namun tidak menerima jika UMNO yang menyertai kerajaan campuran itu sebagai Parti UMNO.

“Maka terpaksalah saya letak jawatan. Sebagai manusia biasa saya tidak sunyi daripada melaku kesilapan. Saya pohon maaf jika peletakan jawatan oleh saya adalah salah,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X