Jumaat, 6 March 2020 | 6:14pm
Bangunan JAPERUN Tanjung Bidara sudah dikosongkan.
Bangunan JAPERUN Tanjung Bidara sudah dikosongkan.

28 JAPERUN Melaka diarah kosong bangunan serta merta

ALOR GAJAH: Sebanyak 28 Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) di seluruh negeri ini sudah diarah mengosongkan bangunan hari ini, berikutan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Arahan berkenaan dikeluarkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Alor Gajah, PDT Melaka Tengah dan PDT Jasin kelmarin,. sejajar arahan daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Selain mengosongkan bangunan, ia turut membabitkan arahan kepada semua pentadbir JAPERUN supaya menyerahkan senarai aset bangunan JAPERUN, balai raya dan dewan komuniti kepada Penghulu di setiap DUN.

Pentadbir JAPERUN juga diarahkan mengemas kini salinan penyata akaun terkini dan laporan kewangan perbelanjaan JAPERUN.

Semua JAPERUN itu diambil alih oleh PH selepas membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei 2018 dengan calon PH yang menang mentadbir secara terus JAPERUN masing-masing manakala JAPERUN DUN yang dimenangi calon Barisan Nasional (BN), ditadbir oleh Penyelaras DUN yang dilantik Pejabat Ketua Menteri.

Sementara itu, bekas Penyelaras DUN Sungai Udang, Lokman Abdul Ghani berkata, beliau sudah menyerahkan kunci JAPERUN kepada Penghulu DUN Sungai Udang, Izmeer Rahmad hari ini sejajar arahan terbabit.

Katanya, Bahagian Sumber Manusia, Pejabat Ketua Menteri Melaka sudah mengeluarkan notis mengenai kontrak petugas di JAPERUN ditamatkan mulai Selasa ini.

“Setiausaha JAPERUN, Pegawai Kebajikan dan beberapa petugas lain menerima notis penamatan perkhidmatan masing-masing mulai Selasa ini (10 Mac),” katanya.

Kerajaan PH tumbang selepas empat ADUN yang sebelum ini dalam PH tidak lagi menyokong PH dengan dua daripada mereka keluar daripada pakatan itu manakala dua lagi memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) Melaka.

Dua ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), masing-masing ADUN Paya Rumput, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad bertindak demikian sejajar tindakan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin membawa parti itu keluar daripada PH pada 24 Februari lalu.

Dua lagi ADUN, masing-masing Datuk Norhizam Hassan Baktee (DAP-Pengkalan Batu) dan Datuk Muhammad Jailani Khamis (PKR-Rembia) memberikan sokongan secara terbuka kepada PN yang ditunjangi UMNO.

Ia menjadikan PN menguasai 13 kerusi DUN (semuanya UMNO) dan disokong dua kerusi ADUN DAP dan PKR manakala PH hanya tinggal 11 kerusi manakala BERSATU dua kerusi.

Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kelmarin dilaporkan mengumumkan PN membatalkan kerjasama dengan dua ADUN BERSATU.

Berita Harian X