Rabu, 11 March 2020 | 5:41pm

KKM jejaki 5,000 peserta tabligh untuk ujian COVID-19

PUTRAJAYA: Semua Jabatan Kesihatan Negeri kini giat mengesan lebih 5,000 peserta Malaysia yang menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata siasatan itu dijalankan susulan laporan International Health Regulations (IHR) Focal Point (FP) Brunei, di mana kes yang disahkan positif COVID-19 di negara terbabit mempunyai sejarah perjalanan ke Malaysia.

“Kes berkenaan dilaporkan mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, Selangor pada 27 Februari 2020 hingga 1 Mac 2020.

“Berdasarkan maklumat awal, perhimpunan tabligh ini membabitkan anggaran sejumlah 10,000 orang dari beberapa buah negara termasuk Malaysia.

“Peserta dari Malaysia adalah dianggarkan melebihi 5,000 orang. Semua Jabatan Kesihatan Negeri sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara ini di negeri masing-masing,” katanya dalam kenyataan yang diberikan.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Brunei dalam kenyataannya mengesahkan kes pertama positif COVID-19 di negara itu dijangkiti ketika hadir satu majlis keagamaan di Malaysia.

Individu terbabit dikatakan pulang ke Brunei dengan rakannya pada 3 Mac lalu melalui Miri, Sarawak sebelum menyedari mengalami simptom jangkitan dan membuat pemeriksaan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha pada 8 Mac lalu.

Dr Noor Hisham berkata, semua rakyat Malaysia yang menyertai perhimpunan itu dan mengalami gejala, diminta menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran.

"Selain itu, KKM juga turut berkolaborasi dengan BookDoc, di mana orang ramai boleh muat turun aplikasi BookDoc melalui Google Play store (untuk android sahaja) bagi mendapatkan perkhidmatan "Health Advice" dengan doktor secara percuma melalui mesej sahaja.

"Sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan diri, termasuk kerap mencuci tangan dengan cara yang betul, mengamalkan etika batuk dan bersin yang baik serta memakai topeng hidung dan mulut," katanya.

Bagi mereka yang tidak mengalami gejala, diminta mengamalkan jarak sosial (social distancing) sekurang-kurangnya 1 meter dari orang lain selama 14 hari dari tarikh akhir menghadiri perhimpunan berkenaan.

"KKM meminta semua yang menghadiri perhimpunan ini memberi kerjasama kepada pihak kementerian bagi memastikan jangkitan COVID-19 tidak terus merebak dalam komuniti.

"KKM juga menggesa supaya semua perhimpunan yang membabitkan orang ramai ditangguhkan bagi mencegah kemungkinan jangkitan COVID-19 berlaku,” katanya.

Berita Harian X