Sabtu, 14 March 2020 | 2:33pm
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

KKM tiada jumlah terkini peserta ijtimak tabligh

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) belum mempunyai jumlah terkini, peserta ijtimak tabligh di Masjid Seri Petaling, yang sudah menjalani pemeriksaan mengesan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya memerlukan masa untuk menjalankan siasatan dan sedang berusaha memperoleh maklumat dari negara berkaitan.

“Institut Kesihatan dan Pemulihan (IHR) Focal Point Malaysia telah memaklumkan kepada semua negara IHR Focal Point berkaitan mengenai acara di Malaysia.

“Kami menjangkakan pemberitahuan kes COVID-19 dari negara-negara lain juga. Beri KKM masa untuk siasat dan laksanakan tugas. KKM akan keluarkan kenyataan nanti,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan pemeriksaan ke atas peserta ijitmak tabligh.

Semalam, KKM menganggarkan jumlah peserta tabligh dari Malaysia di Masjid Seri Petaling yang dikaitkan dengan kes COVID-19 baru-baru ini, tiga kali ganda daripada yang dinyatakan sebelum ini.

Berdasarkan siasatan kementerian itu, menurut KKM, ada kira-kira 16,000 peserta menyertai ijtimak tabligh antarabangsa yang berlangsung di masjid berkenaan.

Daripada angka itu, kira-kira 14,500 dipercayai rakyat Malaysia, menurut infografik yang dimuat naik oleh Dr Noor Hisham kelmarin.

Susulan situasi itu, Dr Noor Hisham menegaskan bahawa KKM akan menjalankan saringan terhadap kumpulan tabligh terlebih dahulu.

Beliau menjelaskan, ada juga orang ramai yang cemas dan mahu diuji meskipun tiada gejala.

“Saringan KKM adalah kepada kumpulan tabligh dahulu, tetapi orang ramai yang cemas nak diuji juga. Ada yang tiada gejala.

“Jadi, KKM akan saring dahulu sebelum diuji,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X