Ahad, 15 March 2020 | 12:54pm

Seluruh dunia laksana pencegahan lebih ketat

KUALA LUMPUR: Semakin banyak negara mengambil tindakan pencegahan ketat dan kewaspadaan tinggi ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam mengisytiharkan Eropah kini menjadi pusat penularan wabak COVID-19.

Bagi yang tidak menutup sempadan, kemasukan pelancong dikawal dengan syarat kuarantin lebih ketat serta menghalang perhimpunan berskala besar demi membendung penularan wabak berkenaan.

Sesetengah negara mengambil langkah menutup tempat tumpuan pelancong, termasuk muzium serta membatalkan acara sukan demi mengurang risiko penyebaran.

Keadaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) masih berjalan seperti biasa namun kurangnya penumpang dapat dirasai ketika dunia sedang berdepan dengan penularan COVID-19. - Foto BERNAMA
Keadaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) masih berjalan seperti biasa namun kurangnya penumpang dapat dirasai ketika dunia sedang berdepan dengan penularan COVID-19. - Foto BERNAMA

Ketika mengisytiharkan Eropah menjadi pusat pandemik COVID-19 selepas China kelmarin, WHO menyatakan jumlah kes baharu direkodkan setiap hari di rantau itu, jauh lebih tinggi berbanding ketika kemuncak di China.

Menurut WHO, pandemik COVID-19 sudah meragut 5,000 nyawa di seluruh dunia daripada lebih 132,000 kes dilaporkan. Johns Hopkins University yang memantau perkembangan itu, melaporkan kira-kira 68,000 mangsa sembuh.

Kebimbangan terhadap implikasi COVID-19, menyaksikan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, turut mengumumkan perintah darurat kesihatan dan melaksana sepenuhnya kuasa Kerajaan Pusat termasuk meluluskan bantuan sehingga AS$50 bilion (RM213 bilion) bagi mengurangkan kesan ekonomi dialami negara itu.

AS juga melarang kemasukan kebanyakan rakyat dari benua Eropah, sejak rantau itu diisytiharkan pusat pandemik baharu COVID-19. Ketenteraan AS juga dilapor menghentikan kebanyakan perjalanan domestik serta memperluas sekatan perjalanan antarabangsa terhadap lebih sejuta anggotanya di seluruh negara.

Kakitangan Kesihatan memakai topeng penutup mulut dan hidung ketika merawat pesakit yang dikuarantin di Hospital Spedali Civili, Brescia, Itali. - Foto Reuters
Kakitangan Kesihatan memakai topeng penutup mulut dan hidung ketika merawat pesakit yang dikuarantin di Hospital Spedali Civili, Brescia, Itali. - Foto Reuters

Susulan perisytiharan oleh WHO juga, Colombia menutup sempadannya dengan Venezuela serta menolak kemasukan pelancong yang pernah ke Eropah serta Asia.

Cyprus bertindak menutup sempadannya selama 15 hari bermula semalam, manakala Poland selain menutup sempadan kepada warga asing, turut mengenakan kuarantin selama 14 hari kepada rakyatnya yang kembali daripada luar negara.

Arab Saudi yang sebelum ini mengenakan larangan umrah dan ziarah di Makkah dan Madinah, kini menggantung semua penerbangan antarabangsa selama dua minggu bermula semalam.

New Zealand yang setakat ini merekodkan enam kes COVID-19, mengarahkan semua pelancong dari Eropah, Britain dan Ireland, melakukan kuarantin diri selama 14 hari.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Arden. - Foto Reuters
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Arden. - Foto Reuters

Pentadbiran Perdana Menteri, Jacinda Arden, turut melarang kemasukan kapal persiaran ke New Zealand hingga 30 Jun depan, selepas pengangkutan laut itu menjadi medium penyebaran terbesar di sesetengah negara.

Sekatan perjalanan menjejaskan sistem penerbangan dan syarikat pelancongan di seluruh dunia, manakala pasaran kewangan terjejas teruk akibat jualan panik, minggu ini.

Kesan COVID-19 terhadap kehidupan dan pergerakan seharian penduduk dunia semakin membimbangkan.

Kerajaan Czech misalnya, menutup kebanyakan kedai dan restoran sejak semalam, kecuali kedai runcit makanan, farmasi dan stesen minyak.

Filipina pula mengumumkan perintah berkurung di ibu negara Manila mulai kelmarin dan mengarahkan pusat beli-belah ditutup selama sebulan.

Chile memaklumkan larangan aktiviti perhimpunan melebihi 500 orang, selepas perintah sama dikeluarkan di Australia sejak Isnin lalu.

Di Paris, lokasi tarikan pelancong seperti Menara Eiffel, Muzium the Lourve dan Moulin Rouge, diarah tutup.

Muzium The Smithsonian di AS akan ditutup hari ini, manakala teater Broadway yang menggamit jutaan pengunjung di New York, juga mengambil pendekatan sama. Antara lokasi tumpuan pelancongan tertua di Ireland, The kissing of the Blarney Stone, juga ditutup.

Di China, Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan negara itu, melaporkan kes harian mencatatkan penurunan, ketika penularan meningkat secara berterusan di seluruh dunia.

Suruhanjaya itu melaporkan bilangan kes import COVID-19 ke tanah besar China dari luar negara, julung kalinya mengatasi jumlah penyebaran baharu secara tempatan, kelmarin.

Kelmarin, tanah besar China merekodkan 11 kes, peningkatan daripada lapan, sehari sebelumnya. Bagaimanapun, hanya empat daripadanya adalah kes penularan tempatan.

Suruhanjaya itu melaporkan, Hubei merekodkan penurunan kes jangkitan selama sembilan hari berturut-turut, ketika COVID-19 setakat ini sudah menjangkiti 80,824 orang di tanah besar China.

Di Malaysia, Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati orang ramai tidak menyertai perhimpunan awam melebihi 50 orang, bagi mengelak penularan jangkitan COVID-19 yang setakat ini sudah merekodkan 238 kes positif di seluruh negara, termasuk 41 kes baharu semalam.

Jabatan Pengajian Tinggi turut menyarankan aktiviti berkumpulan di semua institusi pengajian tinggi sepanjang Mac dan April ini ditangguh bagi membendung dan mencegah penularan COVID-19.

Pada masa sama, kerajaan sedang mengkaji langkah membekukan eksport topeng muka untuk memberi keutamaan kepada keperluan dalam negara kerana ketika pengguna berdepan kesukaran memperoleh barangan berkenaan.

Menyedari beban kerja semakin berat digalas petugas perubatan yang terpaksa bertungkus-lumus menjejaki kontak kes positif COVID-19, seramai 1,000 doktor pelatih ditugaskan membantu melicinkan operasi harian hospital kerajaan seluruh negara mulai esok.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata semua doktor pelatih terbabit bagaimanapun akan menjalani latihan induksi selama lima hari, termasuk pengendalian elemen COVID-19 sebelum memulakan tugas.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X