Ahad, 15 March 2020 | 10:35pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Kes COVID-19 global meningkat melebihi 150,000

GENEVA: Sebanyak 152,428 kes coronavirus (COVID-19) dilaporkan di seluruh dunia setakat hari ini, kata jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Fadela Chaib kepada Xinhua.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 5,720 pesakit meninggal dunia, dengan jumlah negara dan rantau yang terkesan dengan wabak itu meningkat kepada 141 negara.

Berikutan peningkatan wabak itu di seluruh dunia, WHO mengklasifikasikan COVID-19 sebagai pandemik, dengan Eropah kini menjadi pusat kepada penyakit itu.

“Dengan pengisytiharan COVID-19 sebagai pandemik, nasihat WHO terhadap semua negara dan individu tetap tidak berubah,” kata jurucakap itu yang menegaskan, langkah komprehensif dan pelbagai untuk mengawal dan mengekang COVID-19 perlu diteruskan.

“Bagi melawan virus baharu ini, semua negara perlu mengambil langkah segera dan meningkatkan tahap tindak balas untuk merawat, mengesan dan mengurangkan jangkitan bagi menyelamatkan nyawa,” katanya.

Chaib menggesa semua negara untuk mempersiapkan sistem tindak balas kecemasan, meningkatkan pengesanan dan penjagaan pesakit, memastikan hospital memiliki ruang, bekalan dan kakitangan mencukupi, serta membangunkan intervensi perubatan bagi menyelamatkan nyawa. - AGENSI

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X