Khamis, 19 March 2020 | 8:26pm

Polis Cheras, Jabatan Penerangan perhebat hebahan Perintah Kawalan Pergerakan

KUALA LUMPUR: Polis Daerah Cheras bekerjasama dengan Jabatan Penerangan, bagi menyampaikan hebahan kepada orang ramai dalam usaha meningkatkan kesedaran terhadap arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan sejak semalam.

Bermula dengan rondaan dan pemantauan di kawasan Maluri, Bandar Tasik Permaisuri dan Bandar Tun Razak, rata-rata masyarakat dan penduduk setempat mematuhi arahan yang dikeluarkan.

Rondaan diketuai Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon yang menunggang motosikal Unit Rondaan Motosikal (URB) bersama pegawai dan anggota dari daerah Cheras dan balai bawah pentadbirannya.

“Berdasarkan pemantauan hari ini kita dapati semua pihak di sekitar kawasan Cheras ini memberikan kerjasama penuh dengan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak polis sejak semalam.

“Di sini, ingin saya memberi nasihat sekali lagi kepada orang ramai supaya tolonglah berada di rumah kecuali mereka yang mempunyai tugasan penting ataupun apa-apa kecemasan yang mendesak, bolehlah membuat pergerakan keluar,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon ketika melakukan rondaan di TBS sambil memberi nasihat kepada orang ramai mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan COVID-19). - Foto NSTP/Aswadi Alias
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon ketika melakukan rondaan di TBS sambil memberi nasihat kepada orang ramai mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan COVID-19). - Foto NSTP/Aswadi Alias

Beliau berkata sekiranya tiada sebarang keperluan penting, orang ramai disarankan untuk berada di rumah bersama keluarga.

“Selama ini kita sibuk bekerja tidak kira Sabtu atau Ahad jadi inilah masanya mungkin Tuhan bagi kita bersama dengan keluarga, duduklah di rumah, tolonglah duduk di rumah,” katanya.

Semalam, Polis Daerah Cheras turut menggunakan kaedah berbeza membuat hebahan kepada masyarakat dengan menyampaikan maklumat Perintah Kawalan Pergerakan melalui pembesar suara masjid di sekitar Cheras, oleh Ketua dan Timbalan Ketua Balai Polis.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X