Sabtu, 21 March 2020 | 1:27pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

2 lagi positif COVID-19 di Perak termasuk 1 doktor pakar

IPOH: Sebanyak 45 kes COVID-19 dilaporkan di negeri Perak setakat jam 12 tengahari ini dengan dua kes terbaharu sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata seorang daripada pesakit yang dirawat di ICU itu adalah Pakar Perubatan Perubatan Kecemasan (Emergency Medicine Physician) daripada sebuah hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Perak.

Beliau adalah kakitangan kesihatan KKM kedua yang memerlukan bantuan pernafasan di ICU.

“Manakala seorang lagi pesakit berusia 63 tahun adalah peserta perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling,” katanya melalui satu kenyataannya di sini sebentar tadi.

Dr Noor Hisham berkata, kedua-dua pesakit kini berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil dan tiada kematian seperti mana yang ditularkan di media sosial.

Beliau berkata, petugas kesihatan KKM seluruh negara sedang berusaha sebaik mungkin memberi rawatan kepada pesakit COVID-19 serta mengesan kes yang baharu.

“Marilah kita bersama-sama berdoa supaya petugas kesihatan dilindungi daripada sebarang malapetaka dan diberikan kesihatan serta kekuatan menghadapi krisis ini.

Anda semua boleh membantu kami dengan duduk di rumah, sentiasa menjaga kebersihan diri dan beri kerjasama sepenuhnya kepada petugas kesihatan dan pihak keselamatan.

Jujurlah apabila diminta memberikan maklumat,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X