X
Sabtu, 21 March 2020 | 6:57pm
KETUA Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA
KETUA Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA

COVID-19: Kerjasama dengan UNHCR saring pelarian, pencari suaka

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bagi memastikan pelarian dan pencari suaka turut disertakan dalam aktiviti pencegahan dan kawalan COVID-19 dilaksanakan Kerajaan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kerjasama itu bertujuan mengekang sebarang penularan jangkitan yang berpotensi berlaku dalam masyarakat.

Katanya, UNHCR akan bekerjasama Pasukan Penyelamat dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET), selain Malaysian Relief Agency (MRA) dan MERCY Malaysia bagi mengesan peserta yang menyertai majlis perhimpunan tabligh membabitkan pelarian dan pencari suaka.

“KKM pula memainkan peranan melalui pembabitan anggota di peringkat Pejabat Kesihatan Daerah. Pasukan bersama ini akan menyalurkan maklumat mengenai jangkitan COVID-19 kepada golongan pelarian dan pencari suaka.

“Mereka turut memberi penerangan mengenai kepentingan mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala jangkitan COVID-19, walaupun tidak menyertai perhimpunan itu.

“Ini mengambil kira kedudukan mereka yang tinggal dalam komuniti kecil dan sentiasa berinteraksi rapat,” katanya pada sidang media harian, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya sudah membincangkan isu membabitkan gelandangan di ibu negara yang turut terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, kira-kira 500 golongan itu di Kuala Lumpur bakal ditempatkan di satu pusat yang sudah dikenal pasti dan akan diumumkan kelak.

“Kerjasama juga akan digerakkan bersama MKN untuk membuat saringan terhadap golongan itu,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X