Ahad, 22 March 2020 | 12:43pm

COVID-19: Tabligh lantik jemaah profesional bantu kerajaan tangani wabak

KUALA LUMPUR: Jemaah Dakwah dan Tabligh Malaysia hari ini mengumumkan barisan anggotanya yang terdiri daripada golongan profesional untuk berurusan dengan pihak berkuasa bagi bersama-sama menangani penularan wabak COVID-19.

Wakil syura jemaah itu, Abdullah Abdullah, berkata jemaah ini dibentuk bertujuan melicinkan usaha dan kerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan semua arahan serta keputusan dilaksanakan dengan rapi bagi mengelakkan sebarang kekeliruan daripada mana-mana pihak.

“Bagi menangani krisis wabak yang sedang melanda, berikut disenaraikan nama dan butiran ahli jemaah senior kami dari Masjid Seri Petaling untuk berurusan dengan pihak berkuasa secara rasmi, insya-Allah.

“Mereka terdiri daripada doktor perubatan, ahli akademik dan ahli perniagaan. Mereka mempunyai pengalaman luas dalam usaha dakwah dan tabligh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini dilaporkan sedang menjejaki seramai 4,000 peserta ijtimak tabligh di Masjid Seri Petaling, dekat sini, yang dianjurkan pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut berkata tidak semua peserta program berkenaan tampil membuat saringan COVID-19 di fasiliti kerajaan, sekali gus menimbulkan kebimbangan rakyat.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan peserta ijtimak itu yang belum dapat dikesan segera tampil membuat saringan COVID-19.

Jemaah itu sebelum ini memberi jaminan pihaknya dan peserta himpunan tabligh sentiasa memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dan semua peserta akan tampil untuk menjalani saringan COVID-19.

Malaysia setakat ini mencatatkan lapan kematian akibat COVID-19 dan lima daripadanya adalah dari kluster tabligh.

Berikut adalah senarai ahli jemaah kanan tabligh yang dilantik untuk berurusan dengan pihak berkuasa:

1. Datuk Dr Wan Azman Wan Ahmad (pakar jantung)

2. Prof Dr Mahmud Tengku Muda Mohamed (bekas pensyarah di Universiti Putra Malaysia)

3. Dr Azizuddin Kamaruddin (bekas pensyarah di Universiti Malaya)

4. Dr Syed Redha Syed Nasir (doktor pakar di Hospital Tawakal)

5. Datuk Dr Mohamed Abd Majid (bekas pensyarah di Universiti Malaya)

6. Prof Madya Dr Mohd Fauzi Othman (pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia)

7. Mohd Khairi Mohd Akbar (ahli perniagaan).

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X