Ahad, 22 March 2020 | 1:51pm

Harga topeng muka akan diturunkan

PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan menurunkan paras harga siling topeng muka yang ketika ini ditetapkan pada kadar RM2 sekeping.

Menteri Kanan yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan mendapati kadar RM2 ketika ini terlalu tinggi.

“Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan berbincang pagi esok, supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna melihat semula kadar harga berkenaan.

“Kerajaan mahu ia diturunkan lebih banyak lagi, tiada sebab harga dinaikkan kerana kerajaan sudah setuju menghapuskan duti import topeng muka,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat MKN, hari ini.

Sebelum krisis kekurangan bekalan, harga topeng muka dalam pasaran hanyalah 80 sen sekeping sebelum dinaikkan kepada RM2 sekeping oleh KPDNHEP dengan alasan peningkatan kos pengeluaran.

Ismail Sabri berkata, selain topeng muka, kerajaan juga akan melihat kedudukan harga dan bekalan produk keperluan pengguna bagi tujuan penjagaan kesihatan seperti cecair pembasmi kuman.

Katanya, sebanyak 10 juta topeng muka yang ditempah dari China adalah dibiayai oleh kerajaan sepenuhnya bagi tujuan kegunaan petugas barisan hadapan selain lebihannya untuk agihan di kawasan berisiko tinggi.

Menteri Kanan yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menteri Kanan yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Berita Harian X