Ahad, 22 March 2020 | 3:24pm
Harga maksimum borong dan runcit bagi topeng muka.
Harga maksimum borong dan runcit bagi topeng muka.

COVID-19: 'Kita bimbang ia topeng muka kitar semula'

KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati membeli topeng muka terutama yang dijual secara dalam talian berikutan banyak yang tidak diketahui sumber pengeluarnya.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman, berkata pihaknya memantau trend penjualan sedemikian kerana khuatir ada topeng muka yang dijual sebenarnya sudah dipakai sebelum dijual semula.

“Kita pelik bagaimana mereka (penjual dalam talian) mempunyai bekalan sedangkan semua tahu negara menghadapi kekurangan bekalan topeng muka ketika ini.

“Kita khuatir ada produk dijual sebenarnya ‘recycle’ (kitar semula) dan ada yang tidak diketahui mana punca bekalannya, kita sedang siasat perkara itu,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Iskandar berkata, pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan syarikat pengendali platform jualan dalam talian mengenai perkara itu.

“Kita memantau harga jualan topeng muka di platform sedemikian, justeru kita minta orang ramai lebih berhati-hati. Jangan beli sekiranya harga ditawarkan melebihi harga siling ditetapkan KPDNHEP.

“Selain itu, kita turut menerima pelbagai aduan mengenai penipuan penjualan topeng muka dalam talian termasuk yang menjual menerusi laman media sosial.

“Pembeli membuat pembayaran menerusi akaun bank penjual tetapi barangan dibeli tidak sampai kepada mereka ataupun kualiti diterima tidak sama seperti ditawarkan,” katanya.

Katanya, KPDNHEP memperketatkan kawalan pengeluaran oleh empat kilang pembuatan topeng muka dalam negara dan memastikan ia tidak dieksport buat masa ini.

Katanya, pengeluaran dan jumlah penghasilan sehari dipantau, selain destinasi pengedaran.

“Kita akan minta penjual terutama farmasi menjual dalam kuantiti terhad, tidak perlulah jual sampai sekotak untuk seorang pembeli,” katanya.

Beliau menjangka bekalan topeng muka akan pulih tidak lama lagi susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana orang ramai tidak perlu berada di luar.

Berita Harian X