Isnin, 23 March 2020 | 3:43pm
Pakatan Harapan mencadangkan kerajaan supaya memberikan pengecualian cukai kepada bekalan perubatan kritikal lain dan bukan hanya produk topeng muka. - Foto NSTP
Pakatan Harapan mencadangkan kerajaan supaya memberikan pengecualian cukai kepada bekalan perubatan kritikal lain dan bukan hanya produk topeng muka. - Foto NSTP

COVID-19: Bekalan perubatan kritikal selain topeng juga wajar dikecualikan cukai

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan mencadangkan kerajaan supaya memberikan pengecualian cukai kepada bekalan perubatan kritikal lain dan bukan hanya produk topeng muka.

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan dalam kenyataan hari ini berkata, produk perubatan kritikal yang digunakan oleh pejawat dan pekerja kesihatan seperti alat pelindung diri (PPE) termasuk sarung tangan dan alat bantuan pernafasan (ventilator) wajar diberikan pengecualian sama.

Katanya, ini akan sedikit sebanyak menggalakkan pembekalan alat bekalan perubatan kritikal melalui pembuatan tempatan dan juga melalui bekalan import.

“Majlis Setiausaha Pakatan Harapan mengalu-alukan keputusan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia dan Menteri Kewangan untuk mengecualikan pembayaran duti import dan cukai jualan untuk produk topeng muka bermula pada hari ini.

“Namun, kami menyeru supaya bukan sahaja produk topeng muka yang diberikan pengecualian duti import dan cukai jualan, tetapi bekalan perubatan kritikal yang lain seperti PPE termasuk sarung tangan dan ventilator juga diberikan pengecualian sama.

“Kami juga menyeru supaya pihak Kastam mempercepatkan proses pengimportan alat perubatan kritikal supaya mana-mana sekatan ataupun ‘bottleneck’ tidak akan berlaku,” katanya.

Pakatan Harapan juga mengulangi gesaannya supaya kerajaan menerbitkan dari semasa ke semasa jumlah bekalan yang ada dalam negara bagi beberapa peralatan kritikal termasuk topeng muka, sanitizer, kit ujian COVID-19, PPE dan ventilator.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X