Isnin, 23 March 2020 | 8:34pm
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. NSTP/Mohd Fadli Hamzah

COVID-19: MEDAC umum 5 langkah bantu golongan terjejas

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) memperkenalkan lima langkah bagi membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), perusahaan mikro dan koperasi yang terjejas dengan penularan COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata kerajaan prihatin dengan nasib usahawan kecil dan atas dasar itu, kementerian akan meneruskan komitmen untuk membantu usahawan dan koperasi terjejas.

Menerusi langkah pertama, MEDAC mengambil langkah proaktif antaranya memberi penangguhan sementara bayaran balik komitmen pembiayaan usahawan dan koperasi di bawah Bank Rakyat, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan SME Bank mulai 16 Mac lalu.

“Semua usahawan TEKUN yang yang masih dalam tempoh pembiayaan layak untuk diberi penangguhan bayaran balik pembiayaan maksimum sehingga enam bulan.

“Bantuan berbentuk pembiayaan bertindih (overlapping) dengan penambahan amaun pembiayaan daripada baki pembiayaan sedia ada boleh diberikan kepada usahawan TEKUN yang terjejas dengan nilai maksimum sehingga RM10,000.

“Usahawan juga diberikan pengecualian khas untuk mengeluarkan keseluruhan simpanan. Pengeluaran simpanan adalah tertakluk kepada baki simpanan pembiayaan terdahulu dan pengeluaran simpanan bagi pembiayaan semasa (sekiranya ada) adalah tidak dibenarkan.

“Dijangka 20,000 usahawan TEKUN akan dapat mengguna pakai bantuan ini dengan anggaran kos sebanyak RM180 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi koperasi yang terjejas pula, beliau menjelaskan, mereka diberikan tambahan tiga bulan untuk mengadakan Mesyuarat Agong Tahunan dan dengan perlanjutan tempoh itu, dijangka dapat memanfaatkan sebanyak 14,600 koperasi.

Menurut beliau, koperasi juga boleh memohon penangguhan bayaran balik pembiayaan Tabung Modal Pusingan (TMP-JPK) serta lain-lain pembiayaan sedia ada oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

“Penangguhan ini akan diberi pertimbangan sewajarnya dan dijangka membabitkan anggaran kos sebanyak RM16.5 juta,” katanya.

Mengulas lanjut langkah pertama bagi Bank Rakyat, Wan Junaidi menjelaskan, institusi perbankan itu menawarkan moratorium kepada individu dan syarikat dalam industri yang terjejas seperti penerbangan, pelancongan dan pengangkutan dengan tempoh penangguhan selama enam bulan.

Katanya, pengurangan sebanyak 50 peratus kadar keuntungan untuk pengeluaran wang tunai berbanding 18 peratus kadar sebelumnya.

Bagi SME Bank pula, Wan Junaidi menjelaskan, inisiatif penangguhan pembayaran selama enam bulan dan penstrukturan semula pinjaman mengikut kes.

Beliau berkata, penangguhan ini dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 2,800 pelanggan SME Bank dengan nilai pembiayaan berjumlah RM4.5 bilion.

Menjelaskan langkah kedua, Wan Junaidi berkata, ia membabitkan pengecualian sewa atau pengurangan sewaan bangunan milik UDA Holdings Berhad, SKM, Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) dan SME Bank.

“Ia membabitkan pengecualian atau pengurangan sewa kepada penyewa premis dan ruang milik UDA Holding Bhd. Seramai 1,500 penyewa dijangka dapat menerima manfaat dari bantuan ini dengan membabitkan kos sebanyak RM4 juta.

“Koperasi diberi pertimbangan pengurangan sewaan bangunan yang diurus SKM sehingga maksimum 50 peratus untuk tempoh masa tertentu.

“Pengecualian sewa selama lima bulan kepada penyewa Co-Working Space (CWS) di MaGIC, Cyberjaya dan B744 Kuching. Seramai 50 usahawan akan menerima manfaat ini.

“Memberi penangguhan sehingga enam bulan bagi sewaan Kompleks Premis Usahawan SME Bank membabitkan 248 penyewa dengan penjimatan kos sewaan berjumlah RM2.3 juta,” katanya.

Langkah ketiga membabitkan pembiayaan perniagaan bagi bank seperti Bank Rakyat dan SME Bank.

Beliau menjelaskan, Bank Rakyat menyediakan pembiayaan tambahan berjumlah RM200 juta bagi menampung keperluan koperasi serta perusahaan mikro dan PKS mulai hari ini namun tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

Katanya, sebanyak 500 koperasi dan 2,000 mikro PKS akan dapat menikmati faedah pembiayaan ini menerusi Program Pembiayaan Khas BizCare bagi usahawan PKS, mikro dan koperasi serta Program Pendahuluan Tunai Kad Kredit-i.

Untuk SME Bank, beliau menjelaskan, institusi perbankan itu membantu dalam bentuk pembiayaan sehingga RM1 juta untuk tempoh 5.5 tahun pada kadar 3.75 peratus kepada usahawan yang layak di bawah skim Special Relief Facility (SRF) yang diperuntukkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Langkah keempat adalah bantuan latihan keusahawanan dan perniagaan.

Beliau menjelaskan, latihan dan program keusahawanan dan perniagaan akan diteruskan secara talian oleh Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), MaGIC dan Institut Koperasi Malaysia (IKM).

Bagi pembatalan program anjuran INSKEN, katanya, institusi keusahawanan itu akan memulangkan semula yuran pendaftaran.

Langkah kelima berkisar kelulusan pendaftaran Sijil Taraf Bumiputera.

Jelasnya, pendaftaran sijil taraf Bumiputera akan diluluskan walaupun siasatan premis belum dilakukan dan selepas tarikh itu, siasatan akan dilaksanakan semula termasuk lesen pendaftaran akan dibatalkan bagi syarikat yang tidak memenuhi taraf Bumiputera.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X