X
Selasa, 24 March 2020 | 6:21pm

COVID-19: KKM tidak saran guna kit ujian pantas

PUTRAJAYA: Penggunaan teknik Rapit Test Kit (RTK) atau kit ujian pantas tidak disarankan untuk tujuan diagnosa COVID-19, sebaliknya keputusan ujian tepat melalui teknik Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR), yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah penting dalam pengurusan pesakit COVID-19 yang berkesan.

Ini berikutan, teknik ujian rRT-PCR mampu mengesan virus yang masih berada dalam badan pesakit.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata melalui teknik kit ujian pantas yang kini terdapat di pasaran pula, ia bertujuan mengesan antibodi yang terhasil di dalam badan akibat jangkitan yang dialami.

Beliau berkata, antibodi muncul di dalam badan antara lima hingga lapan hari selepas jangkitan.

Katanya, teknik rRT-PCR digunakan untuk ujian makmal yang dijalankan di makmal fasiliti kesihatan kerajaan bagi mengesan jangkitan COVID-19.

"Ujian rRT-PCR yang dijalankan akan mengesan kehadiran virus COVID-19 yang terdapat di dalam badan pesakit. Justeru, ujian rRT-PCR COVID-19 yang positif bermaksud individu itu telah dijangkiti oleh virus COVID-19".

"Ujian RTK yang mengesan antibodi, tidak dapat mengesan virus dan membuat pengesahan pantas jangkitan".

"Ini menyebabkan ia tidak dapat membantu dalam pengesanan awal kes COVID-19," katanya pada sidang media harian di KKM, di sini, hari ini.

Justeru, Dr Noor Hisham berkata, KKM menggesa orang ramai untuk tidak menjalani ujian RTK dengan sewenang- wenangnya tanpa mendapat khidmat nasihat daripada pengamal perubatan, kerana ia berpotensi untuk menimbulkan salah tafsir dan keresahan terhadap keputusan ujian yang diperolehi.


  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
    Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
    Berita Harian X