Khamis, 26 March 2020 | 7:34pm
Amir Hamzah (paling kiri) menyampaikan taklimat mengenai kesiapsiagaan TNB dalam menghadapi cabaran PKP kepada Shamsul Anuar (baris hadapan, dua dari kanan) semasa sesi lawatannya di Bilik Kawalan NLDC di TNB Bangsar, hari ini. Turut kelihatan Ali Biju (paling kanan) dan Zurinah (dua dari kiri). - Foto Ihsan TNB
Amir Hamzah (paling kiri) menyampaikan taklimat mengenai kesiapsiagaan TNB dalam menghadapi cabaran PKP kepada Shamsul Anuar (baris hadapan, dua dari kanan) semasa sesi lawatannya di Bilik Kawalan NLDC di TNB Bangsar, hari ini. Turut kelihatan Ali Biju (paling kanan) dan Zurinah (dua dari kiri). - Foto Ihsan TNB

TNB gerak 79 janakuasa bergerak, mudah alih sepanjang PKP

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) meletakkan 79 set janakuasa bergerak dengan pelbagai kapasiti di seluruh negara sebagai langkah proaktif menjamin kelangsungan bekalan elektrik sejak Perintah Kawalan dan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula 18 Mac lalu.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata set janakuasa mudah alih juga digerakkan dan semuanya berada dalam keadaan bersedia jika diperlukan.

Selain itu, katanya sistem bekalan elektrik ke hospital yang menjadi pusat perubatan bagi menangani wabak COVID-19 turut diperkukuhkan, antaranya membabitkan Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur.

“Saya melihat persiapan dilakukan TNB dan yakin dengan usaha mereka. Tentunya ketika rakyat Malaysia mematuhi perintah untuk berada di rumah, warga kerja TNB berperanan penting memastikan bekalan elektrik yang stabil dapat dinikmati semua.

“TNB bersedia memastikan bekalan elektrik ke hospital, sama ada di bandar atau klinik kesihatan luar bandar sentiasa terjamin.

“Saya ucapkan syabas kepada semua warga kerja TNB yang bertungkus-lumus bekerja semasa tempoh genting ini,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan TNB, hari ini.

Terdahulu, Shamsul Anuar meninjau Pusat Kawalan Wilayah Selatan dan Metro (MSRCC) dan Pusat Muatan Beban Nasional (NLDC) di ibu pejabat TNB, Bangsar di sini.

Yang turut hadir ialah timbalannya, Ali Biju; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Zurinah Pawanteh; Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Tenaga, Abdul Rahim Ibrahim serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Sementara itu, Amir Hamzah merakamkan penghargaan kepada Shamsul Anuar atas lawatan beliau bagi meninjau langkah diambil TNB dalam memastikan bekalan elektrik yang stabil sepanjang tempoh PKP.

Berita Harian X