Khamis, 26 March 2020 | 9:38pm
Gambar hiasan: Seorang pengguna melintasi pintu masuk stesen LRT di Stesen KL Sentral yang lengang susulan Perintah Kawalan Pergerakan. - Foto BERNAMA
Gambar hiasan: Seorang pengguna melintasi pintu masuk stesen LRT di Stesen KL Sentral yang lengang susulan Perintah Kawalan Pergerakan. - Foto BERNAMA

PKP: KL Sentral ditutup jam 11 malam, buka jam 5 pagi

KUALA LUMPUR: Sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal penularan wabak COVID-19, Malaysia Resource Corporation Berhad (MRCB) memutuskan untuk mengehadkan akses orang awam ke stesen KL Sentral.

Pengurus Besar Komunikasi Korporat, Noreen Sabrina Mohd Noor, berkata stesen KL Sentral akan ditutup mulai jam 11 malam dan dibuka semula pada jam 5 pagi setiap hari.

“Ini selaras dengan keputusan kolektif Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB), Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) dan RapidKL untuk menamatkan perkhidmatan harian mereka pada jam 10 malam sepanjang tempoh PKP bagi memastikan orang ramai mematuhi arahan itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP selama 14 hari sejak 18 Mac lalu dan dilanjutkan hingga 14 April nanti bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Stesen KL Sentral adalah hab pengangkutan bersepadu di ibu kota merangkumi sembilan rangkaian rel yang memberi perkhidmatan kepada lebih 200,000 penumpang setiap hari, termasuk laluan terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Noreen Sabrina berkata, serentak dengan keputusan itu, semua akses ke Stesen KL Sentral termasuk melalui tempat pemunggahan, tempat letak kereta, platform kereta api dan NU Sentral akan ditutup.

Bagaimanapun katanya, pintu utama Stesen KL Sentral di aras dua berhampiran Hotel Hilton dan Hotel Le Meridien boleh diakses untuk tujuan kecemasan tetapi dipantau Polis Bantuan MRCB.

Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), KLIA Ekspres, KLIA Transit, Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS), KTM Komuter, KTM antara bandar dan KTM Skypark turut mengehadkan operasi mereka dari jam 6 pagi hingga 10 pagi dan 5 petang hingga 10 malam bermula semalam.

“Pengendali bas seperti RapidKL, GoKL Smart Selangor, semua bas perantara serta pengendali teksi turut mengikut langkah sama mengehadkan perkhidmatan mereka,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X