Jumaat, 27 March 2020 | 3:28pm

Dana khas RM8 juta daripada industri insurans, takaful

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan dana khas sebanyak RM8 juta daripada pihak industri insurans dan takaful.

Beliau berkata, peruntukan itu untuk menanggung kos ujian penyaringan sehingga RM300 bagi setiap pemegang polisi atau sijil takaful perubatan yang diarahkan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menjalani ujian di hospital swasta atau makmal swasta.

“Syarikat insurans dan takaful keluarga akan menawarkan penangguhan pembayaran premium atau sumbangan untuk tiga bulan bagi pencarum yang sumber pendapatan mereka terjejas akibat wabak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, mySalam menyediakan manfaat kepada golongan B40 yang dimasukkan ke hospital kerana jangkitan COVID-19.

“Pesakit boleh menuntut bayaran penggantian pendapatan sebanyak RM50 sehari untuk tempoh maksimum 14 hari.

“Sebagai tambahan, kerajaan bersetuju memanjangkan manfaat ini kepada golongan B40 yang dikuarantin sebagai pesakit bawah siasatan (PUI),” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • FOTO hiasan.
    FOTO hiasan.
    Berita Harian X