Isnin, 30 March 2020 | 3:30pm
Antara jenis topeng muka digunakan sebagai langkah pencegahan wabak COVID-19. - NSTP/HASRIYASYAH SABUDIN
Antara jenis topeng muka digunakan sebagai langkah pencegahan wabak COVID-19. - NSTP/HASRIYASYAH SABUDIN

COVID-19: Harga siling topeng muka RM1.50

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini bersetuju menurunkan harga siling bagi topeng muka kepada RM1.50 sekeping, berbanding RM2 seperti diumumkan sebelum ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan akan terus mengkaji harga siling itu dari semasa ke semasa dan mengumumkan kadar baharu sekiranya berlaku penurunan harga import topeng muka.

“Pagi tadi, kita sudah berbincang dan mendapati tidak banyak topeng muka yang dikeluarkan syarikat dalam negara.

“Sebaliknya, kebanyakan topeng muka yang dijual di negara ini diimport, maka kita terikat dengan harga import itu.

“Oleh itu, mesyuarat hari ini bersetuju supaya harga siling topeng muka ialah RM1.50 sekeping iaitu 50 sen lebih murah berbanding harga siling ditetapkan sebelum ini,” katanya pada sidang media Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan untuk menurunkan harga siling topeng muka kerana mendapati RM2 yang ditetapkan sebelum ini terlalu tinggi.

Sebelum krisis kekurangan bekalan susulan penularan COVID-19, harga topeng muka di pasaran hanya sekitar 80 sen sekeping sebelum dinaikkan RM2 sekeping oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNHEP), dengan alasan peningkatan kos pengeluaran.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X