Selasa, 31 March 2020 | 3:02pm

COVID-19: Solat Jumaat, berjemaah di masjid, surau Johor ditangguhkan

JOHOR BAHRU: Solat Jumaat, solat berjemaah lima waktu dan semua aktiviti di masjid, surau atau musolla di negeri ini ditangguhkan sehingga selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir, 14 April depan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) hari ini, penangguhan berkenaan juga mengikut apa-apa ketetapan diputuskan Kerajaan Malaysia dari semasa ke semasa.

Penangguhan solat Jumaat, solat berjemaah lima waktu dan semua aktiviti di masjid, surau atau musolla di negeri ini diperkenankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar mengikut peruntukan Fasal 57(A) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri

Johor 1895 dan Seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.

“Sepanjang tempoh yang dinyatakan, semua perhimpunan untuk tujuan aktiviti agama seperti kuliah, ceramah dan seumpamanya di seluruh masjid serta mussola negeri ini hendaklah ditangguhkan.

“Demikian juga arahan ini berkuatkuasa terhadap segala aktiviti kemasyarakatan yang lazimnya dilaksanakan di dalam premis berkenaan seperti kursus, majlis keraian, pengurusan jenazah dan seumpamanya.

“Semua pihak yang terbabit dengan pengurusan masjid, surau dan mussola seperti ahli jawatankuasa masjid dan pegawai masjid di negeri dan rakyat negeri ini hendaklah mematuhi arahan ini.

“Marilah kita bersatu hati, merafakkan doa semoga wabak COVID-19 ini segera berakhir dan kita semua beroleh perlindungan Allah S.W.T, ” kata kenyataan berkenaan.

Kenyataan berkenaan ditandatangani Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Datuk Md Rofiki Samsudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Datuk Mohd Noh Ibrahim.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X