Khamis, 2 April 2020 | 4:59pm
Kerja-kerja pembersihan dan semburan sanitasi di tempat-tempat tumpuan ramai giat dijalankan bagi mengekang penularan COVID-19. Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia melakukan kerja-kerja semburan sanitasi di tempat menunggu bas di sekitar kawasan bandaraya ketika tinjauan hari ini. - Foto BERNAMA
Kerja-kerja pembersihan dan semburan sanitasi di tempat-tempat tumpuan ramai giat dijalankan bagi mengekang penularan COVID-19. Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia melakukan kerja-kerja semburan sanitasi di tempat menunggu bas di sekitar kawasan bandaraya ketika tinjauan hari ini. - Foto BERNAMA

COVID-19: 93 kawasan sudah dinyah cemar

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mengeluarkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi agensi berkaitan melaksanakan operasi sanitasi awam atau nyah cemar dalam menangani penularan wabak COVID-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata KKM mengeluarkan garis panduan itu selepas pihaknya menerima banyak aduan berhubung pelaksanaan operasi terbabit daripada pelbagai pihak.

Ismail Sabri berkata, antara aduan yang diterima, termasuk cara operasi nyah cemar yang dikatakan tidak mengikut peraturan.

“Operasi sanitasi awam itu akan diteruskan di tempat awam dan dari rumah ke rumah. Setakat ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah mengenalpasti sebanyak 348 kawasan untuk pelaksanaan operasi nyah cemar di seluruh negara,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, semalam sebanyak 93 kawasan sudah dinyah cemar, menjadi sebanyak 252 kawasan sudah menjalani proses itu sejak 27 Mac lalu manakala proses itu diteruskan di 46 kawasan di lapan negeri, hari ini.

Operasi nyah cemar itu membabitkan seramai 967 anggota dan pegawai yang terdiri daripada pelbagai agensi iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), KKM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia ( RELA), pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat sanitasi SWCorp, Pejabat Daerah, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Jabatan Alam Sekitar ( JAS).

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, KKM akan menentukan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa kedua akan dilanjutkan atau sebaliknya.

Beliau berkata, ia berikutan sebarang keputusan membabitkan pelanjutan itu akan dibuat berdasarkan trend jumlah kes positif COVID-19.

“Alhamdulillah trend kes positif mendatar dan kita doakan jika kepatuhan PKP ini diikuti dengan baik, saya percaya (trend) akan turun.

“Jadi keputusan untuk melanjutkan atau sebaliknya PKP ini, akan diputuskan oleh KKM,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X