Khamis, 2 April 2020 | 7:35pm
Dr Adham (dua dari kiri) menerima sumbangan daripada Azmir (dua dari kanan) pada Majlis Sumbangan COVID-19 kepada Kementerian Kesihatan di Putrajaya, hari ini. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Dr Adham (dua dari kiri) menerima sumbangan daripada Azmir (dua dari kanan) pada Majlis Sumbangan COVID-19 kepada Kementerian Kesihatan di Putrajaya, hari ini. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Syarikat swasta pinjamkan alat bantuan pernafasan kepada KKM

KUALA LUMPUR: Sebanyak 30 alat bantuan pernafasan dipinjamkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) oleh syarikat swasta.

Selain itu, syarikat terbabit sedang membeli 30 sistem pemantauan pesakit untuk kementerian berkenaan.

Inisiatif itu dibuat bagi menyokong usaha kerajaan Malaysia untuk membendung penularan pandemik COVID-19 yang semakin kritikal di negara ini.

Penggunaan peralatan ditawarkan syarikat peneraju pengurusan aset dan penyelesaian infrastruktur di rantau ini, UEM Edgenta Berhad, untuk digunakan di hospital dan pusat kuarantin di seluruh negara.

“Sumbangan penggunaan peralatan penjagaan kesihatan utama dan sistem pengurusan hospital bakal digunakan di hospital dan pusat kuarantin di seluruh negara.

“Melalui kepakaran syarikat dalam bidang peralatan biomedikal dan teknologi penjagaan kesihatan, kami sudah mengenal pasti alat bantuan pernafasan mudah alih dan sistem pemantauan pesakit yang memenuhi spesifikasi teknikal KKM untuk kegunaan petugas barisan hadapan, dijangka boleh digunakan pada bulan ini.

“Kami juga menyediakan sistem maklumat penjagaan kesihatan berasaskan perkomputeran awan (‘cloud-based’) kepada KKM dan Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis Nasional (CPRC) yang mana sistem itu membolehkan maklumat kritikal dapat diuruskan dengan cekap dan menghubungkan kesemua hospital serta pusat kuarantin di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Sumbangan itu disampaikan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Datuk Azmir Merican kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba di Putrajaya, hari ini.

Katanya, sistem yang dibina dengan kerjasama Meridian Project Management Sdn Bhd (Meridian) dibangunkan menggunakan platform Blood Bank Information System Version 2 (BBISV) secara usaha sama dengan Pusat Darah Negara serta boleh mula beroperasi dengan serta-merta.

“BBISV2 adalah aplikasi yang kini beroperasi di 22 buah hospital KKM di seluruh negara dan menampilkan ciri-ciri platform berskala yang boleh diubahsuai mengikut fungsi keperluan bagi menguruskan inventori dan maklumat dari beberapa lokasi,” katanya.

Katanya, kerjasama jangka panjang antara pihaknya dan KKM dalam menyampaikan perkhidmatan sokongan hospital, memberikannya pemahaman terperinci keperluan kritikal dalam situasi sekarang.

“Kami menyumbangkan penggunaan peralatan utama termasuklah ventilator dan sistem pemantauan pesakit bagi menyokong KKM dan CPRC dalam usaha meningkatkan keupayaan mereka.

“Kami berbesar hati menyediakan sistem pengurusan hospital kepada KKM dan CPRC yang mana sistem ini dapat menghubungkan hospital dan pusat kuarantin di seluruh negara supaya pemantauan boleh dibuat secara langsung serta pengurusan sumber maklumat dapat

diuruskan dengan efisien,” katanya.

Katanya lagi, sistem berasaskan perkomputeran awan pelbagai fungsi ini berupaya mengenalpasti status kapasiti hospital (katil, wad ICU dan peralatan seperti ventilator); peralatan perlindungan peribadi (pengurusan inventori); sumber manusia; makmal (kit ujian) dan butiran pesakit (pendaftaran kemasukan, pemindahan dan pendaftaran keluar pesakit positif COVID-19 dan pesakit di bawah pemantauan (PUI).

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X