Khamis, 2 April 2020 | 9:22pm
Penghantaran bantuan makanan untuk penduduk Menara City One berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). - NSTP/Eizairi Shamsudin
Penghantaran bantuan makanan untuk penduduk Menara City One berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). - NSTP/Eizairi Shamsudin

COVID-19: Tanpa SOP, agihan bantuan NGO bercelaru

KUALA LUMPUR: Prosedur operasi standard (SOP) yang betul dan tersusun menjamin kejayaan agihan bantuan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua.

Pengerusi Persatuan Gerakan Kemanusiaan Malaysia (MyHumanitarian), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, berkata semua pihak harus faham bahawa tanpa SOP betul, gerak kerja agihan bantuan menjadi celaru dan menjejaskan tumpuan utama kerajaan membebaskan negara dari ancaman COVID-19.

“Sekarang masanya untuk setiap individu dan NGO bersama-sama JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) untuk menyahut seruan Perdana Menteri bagi membantu kumpulan yang mudah dan terjejas akibat PKP.

“Bagi kami, sudah lama bersedia kerana SOP yang disediakan oleh JKM adalah seiring dengan SOP MyHumanitarian yang sudah kami gerakkan sejak awal PKP fasa pertama,” katanya dalam satu kenyataan.

Kerajaan membuat keputusan untuk tidak membenarkan NGO menghantar bantuan secara terus kepada penerima bagi mengelak mereka terdedah kepada jangkitan COVID-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata, NGO yang ingin menyumbang barangan keperluan atau makanan dinasihatkan supaya menghantarnya ke pusat pengumpulan di pejabat JKM daerah di seluruh negara.

Susulan itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) menyediakan tujuh SOP untuk dipatuhi NGO yang terbabit dalam penyaluran bantuan kepada kumpulan sasar.

Mohamed Maliki berkata, pihak sukarelawan dan NGO lega dan berbesar hati apabila KPWKM mengeluarkan SOP penyaluran sumbangan bantuan kepada kumpulan terjejas.

“Saya percaya setiap NGO mempunyai kepakaran masing-masing dan memiliki akses ketembusan kepada golongan yang memerlukan. Jom kita teruskan usaha membantu,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X