Sabtu, 4 April 2020 | 3:05pm
Antara jenis topeng muka digunakan sebagai langkah pencegahan wabak COVID-19. - Foto NSTP/HASRIYASYAH SABUDIN
Antara jenis topeng muka digunakan sebagai langkah pencegahan wabak COVID-19. - Foto NSTP/HASRIYASYAH SABUDIN

COVID-19: Harga siling topeng muka berasas

KUALA LUMPUR: Penetapan harga siling topeng muka pada kadar RM1.50 adalah bersandarkan pelbagai faktor berkaitan, termasuk harga diimport.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menjelaskan percaturan membawa masuk topeng muka dari luar negara dibuat apabila kadar pengeluaran tempatan berkurangan.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan mempertimbang dan memperhalusi pelbagai perkara berkaitan, sebelum mengurangkan kadar harga siling topeng muka daripada RM2 kepada RM1.50.

“Kita sudah buat kiraan berapa kos sehingga topeng muka sampai ke kedai di Malaysia, justeru kerajaan putuskan harga siling ialah RM1.50.

“Tetapi kalau pengusaha nak buat rayuan (untuk meminta subsidi daripada kerajaan bagi menampung kerugian mereka), boleh kemukakan kepada Kementerian Kewangan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri Mengenai PKP, di Putrajaya, hari ini.

Selepas meneliti pelbagai faktor, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan mendapati harga siling bagi topeng muka iaitu RM1.50 mampu dibeli dalam kalangan rakyat.

Bagaimanapun, beliau mengambil pendirian kerajaan terbuka untuk mendengar keluhan dalam kalangan pengusaha atau penjual topeng muka yang berdepan masalah, termasuk kerugian jualan.

“Sebab itu, perkara ini boleh diajukan kepada kita, menerusi Kementerian Kewangan,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X