Isnin, 6 April 2020 | 6:13pm
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Mohd Fadli Hamzah
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Jumlah kes pulih COVID-19, discaj tertinggi hari ini

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini, merekodkan 236 kes pulih dan dibenarkan keluar dari wad, sekali gus menjadi jumlah harian tertinggi setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah kumulatif kes pulih dan dibenarkan keluar dari wad meningkat kepada 1,241 kes, iaitu 32.72 peratus daripada keseluruhan kes.

Bagaimanapun katanya, sebanyak 131 kes baharu COVID-19 dilaporkan setakat jam 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah kumulatifnya meningkat kepada 3,793 kes.

Sehingga kini katanya, 102 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 54 daripadanya bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

“Terdapat pertambahan satu kematian akibat COVID-19, sekali gus menjadikan jumlah kumulatifnya meningkat kepada 62 kes. Ia membabitkan kes ke-3,663 iaitu seorang lelaki tempatan berusia 67 tahun.

“Beliau mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi dan sejarah kontak rapat dengan beberapa kes indeks yang positif COVID-19 daripada perhimpunan di Sri Petaling, iaitu kes ke-1,265; ke-1,266; ke-1,267, ke-1,404 dan ke-2,549.

“Beliau dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu pada 29 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia pada jam 10.22 pagi, semalam. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarganya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X