Selasa, 7 April 2020 | 11:02am
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

COVID-19: Tambahan peruntukan subsidi upah bantu aliran tunai PKS

KUALA LUMPUR: Tambahan peruntukan program subsidi upah kepada RM13.8 bilion daripada RM5.9 bilion adalah bagi memudahkan aliran tunai sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terancam akibat penularan wabak COVID-19.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata penambahan peruntukan itu juga dibuat bagi memastikan operasi PKS dapat diteruskan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pasca PKP.

"Kerajaan meningkatkan peruntukan program subsidi upah dan ini menjadikan satu jumlah besar untuk diberi perhatian kepada segmen PKS kerana hari ini mereka terancam memandangkan mereka tiada pendapatan, perniagaan mereka terpaksa dihentikan tetapi kos tetap seperti gaji, sewa dan utiliti perlu dibayar.

"Maka sebagai kerajaan yang prihatin kepada rakyat dan masyarakat perniagaan, kita memberikan bantuan upah ini supaya dapat memudahkan aliran tunai kepada PKS dalam tempoh PKP dan kita mengharapkan mereka dapat meneruskan operasi dan menjamin pekerjaan pekerja mereka pasca PKP," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi temubual dalam rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) yang dikendalikan pengacara, Ally Iskandar di Sri Pentas, hari ini.

Mohamed Azmin berkata jumlah peruntukan itu adalah berdasarkan keupayaan fiskal supaya tidak membebankan kewangan negara.

“Sebagai kerajaan yang prihatin, kita membuka ruang untuk mendengar pandangan mereka dan maklum balas yang kita terima, mereka nyatakan ada keperluan untuk kerajaan menyemak semula program subsidi upah ini kerana RM600 itu dikatakan terlalu kecil.

“Selepas mendengar pandangan mereka, kerajaan memutuskan untuk meningkatkan program ini dengan penambahan peruntukan dan ini memberi kelegaan kepada masyarakat perniagaan khususnya PKS,” katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan kerajaan menambah peruntukan program subsidi upah kepada RM13.8 bilion berbanding Rm5.9 bilion yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prohatin Rakyat (PRIHATIN) sebelum ini.

Beliau berkata, semua syarikat dan pekerja tempatan bergaji RM4,000 ke bawah akan menerima subsidi itu.

Berita Harian X