Khamis, 9 April 2020 | 12:04pm
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (kiri), Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud (tengah) dan Prof Dr Sazaly Abu Bakar. - Foto NSTP
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (kiri), Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud (tengah) dan Prof Dr Sazaly Abu Bakar. - Foto NSTP

Lanjut PKP putus rantaian COVID-19

KUALA LUMPUR: Esok kerajaan akan mengumumkan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di seluruh negara sejak 18 Mac lalu sehingga 14 April ini akan dilanjutkan.

Berikutan itu, pelbagai pandangan dan cadangan dikemukakan sama ada oleh pakar kesihatan, keselamatan atau orang ramai mengenainya.

Malah, ada juga cadangan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan di empat lokaliti ketika ini diperluaskan di semua kawasan zon merah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika diajukan soalan itu berkata: “Kita belum memenangi peperangan ini, kita juga belum kalah peperangan ini.”

Katanya, Kementerian Kesihatan akan mengemukakan cadangannya kepada Kabinet dan Perdana Menteri dengan beberapa pilihan bersandarkan fakta dan sains.

BH mendapatkan pandangan beberapa pakar kesihatan, khususnya dalam bidang virologi dan epidemiologi serta tinjauan pembaca akhbar ini sama ada PKP perlu disambung untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Pakar epidemiologi, Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud, berpendapat jumlah kes jangkitan COVID-19 yang belum menunjukkan penurunan ketara dan tahap pematuhan rakyat yang masih rendah menjadi faktor mengapa PKP perlu dilanjutkan.

Katanya, pertambahan kawasan dikenakan PKPD dan zon merah juga menjadi petunjuk penting mengapa PKP perlu diteruskan.

“Saya percaya kerajaan tidak mempunyai alasan kukuh untuk menamatkan PKP yang berakhir 14 April ini kerana trend jangkitan COVID-19 masih pada tahap membimbangkan.

“Saya berpendirian PKP harus dilaksanakan dua hingga enam minggu.

“Jika ikut perkembangan semasa, sekurang-kurangnya perlu enam hingga lapan minggu, bergantung kepada kes direkodkan dan tahap pematuhan rakyat,” katanya.

Pensyarah di Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Universiti Malaya (UM) itu berpendapat, PKP hanya boleh diakhiri jika kes baharu menurun mendadak dan pematuhan rakyat mencapai 99 peratus.

Pakar virologi, Prof Dr Sazaly Abu Bakar juga percaya kerajaan akan melanjutkan PKP sehingga hujung bulan ini atau pertengahan Mei, kerana rantaian jangkitan COVID-19 masih gagal diputuskan.

Katanya, walaupun tiada peningkatan ketara kes harian, namun jumlah kumulatif mingguan kes baharu COVID-19 sejak PKP dilaksanakan masih menunjukkan peningkatan.

“Untuk melihat sama ada kita berjaya mengekang penularan COVID-19, data mingguan kes baharu mesti menunjukkan penurunan.

“Namun sejak minggu pertama PKP hingga minggu ketiga, jumlahnya bertambah, sekali gus menunjukkan keberkesanan PKP tidak seperti diharapkan.

“Kita boleh lanjutkan sampai selepas Aidilfitri, tetapi jika masih gagal kekang penularan COVID-19, maka kerajaan perlu memikirkan pendekatan lain, di samping lanjutan PKP,” katanya.

Berdasarkan kes harian diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jumlah kumulatif pada minggu pertama PKP dilaksanakan adalah 951 kes (18 Mac-24 Mac), meningkat kepada 1,142 pada minggu kedua (25 Mac-31 Mac) dan 1,197 pada minggu ketiga (1 April-7 April).

Dr Sazaly juga berkata, jumlah kes baharu diumumkan setiap hari tidak boleh dijadikan sandaran bagi menentukan kejayaan PKP kerana ia bukan data terkini, sebaliknya diumum selepas mendapat hasil ujian saringan yang mengambil masa kira-kira seminggu untuk diperoleh.

“Kalau hari ini diumum ada 150 kes baharu, maknanya mereka ini menjalani ujian kira-kira seminggu lalu dan mungkin sudah menjangkiti orang lain dalam tempoh itu,” katanya.

Seorang lagi pakar virologi, Prof Emeritus Datuk Dr Lam Sai Kit, berpandangan PKP hanya boleh ditamatkan sekiranya berlaku penurunan kes baharu satu hingga dua minggu berturut-turut.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan PKP boleh diubahsuai antara zon hijau dengan zon kuning, jingga dan merah.

“Bagaimanapun, perlu ditegaskan individu di sesuatu zon itu tidak boleh dibenarkan bergerak ke zon lain. Mereka (dalam zon hijau dan kuning) mungkin boleh dibenarkan kembali bekerja di zon mereka,” katanya.

Dr Sai Kit optimis PKP memberi impak positif meskipun tidak mencapai sasaran diharapkan, berdasarkan jumlah kes baharu yang puratanya di bawah 200 sehari, kadar kematian yang kecil serta jumlah kes pulih yang tinggi iaitu lebih 33 peratus.

“Kemasukan pesakit tahap empat dan lima ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pula hanya lima peratus. Ini menunjukkan Malaysia berjaya meratakan lengkung penularan wabak,” katanya.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus turut memberi amaran kepada semua negara supaya tidak tergesa-gesa menarik balik sekatan pergerakan dikenakan terhadap rakyat.

“Jika negara tergesa-gesa menarik balik sekatan pergerakan dengan segera, virus (jumlah kes) boleh kembali meningkat mendadak dan impaknya terhadap ekonomi akan lebih teruk dan berpanjangan,” katanya.

Sementara itu, majoriti netizen yang menyertai tinjauan dalam talian oleh BH menerusi Facebook (FB) dan Twitter, semalam, turut bersetuju tempoh PKP dilanjutkan.

Menerusi tinjauan bermula jam 2.45 petang hingga 8 malam, 85 peratus atau 150,450 daripada 177,000 netizen yang melayari FB BH mahu PKP disambung, manakala 26,550 (15 peratus) tidak bersetuju.

Maklum balas menerusi Twitter, setakat jam 8 malam tadi pula menyaksikan 1,908 pengguna atau 77 peratus menyokong, 570 pengguna (23 peratus) menolak.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X