Khamis, 9 April 2020 | 12:11pm

COVID-19: Hanya 4 daerah di Semenanjung belum ada kes

KUALA LUMPUR: Hanya empat daerah di Semenanjung berada dalam zon hijau atau belum merekodkan kes COVID-19, kurang 24 jam sebelum Majlis Keselamatan Negara (MKN) memuktamadkan untuk melanjutkan atau tidak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sepatutnya berakhir Selasa depan.

Berdasarkan infografik dikeluarkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga jam 12 tengah hari semalam, empat daerah itu ialah Yan, Kedah; Machang, Kelantan; Kampar, Perak; dan Hulu Terengganu, Terengganu.

Beberapa kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak juga masih bebas daripada penularan wabak berkenaan iaitu 17 daerah di Sarawak dan lapan di Sabah.

Daerah terbabit ialah Kapit, Asajaya, Baram, Bau, Belaga, Dalat, Daro, Julau, Kanowit, Lundu, Song, Saratok, Lubok Antu, Meradong, Pakan, Tatau dan Selangau di Sarawak manakala di Sabah membabitkan Kota Marudu, Kudat, Nabawan, Pitas, Tenom, Kuala Penyu, Tongod serta Beluran.

Kuala Lumpur yang merekodkan keseluruhan 685 kes, empat daerahnya kekal sebagai zon merah atau 41 kes ke atas dengan Lembah Pantai mencatat kes tertinggi iaitu 417; Kepong (107), Titiwangsa (97) dan Cheras (64).

Lima daerah di Selangor juga dikategorikan sebagai zon merah membabitkan Hulu Langat dengan 361 kes, Petaling (318); Klang (134), Gombak (117) dan Sepang (47) manakala Putrajaya (45).

Tiga daerah lagi di Selangor dikategorikan sebagai zon jingga iaitu Hulu Selangor dengan 34 kes; Kuala Selangor (30) dan Kuala Langat (23) manakala baki satu ialah zon kuning membabitkan daerah Sabak Bernam dengan 13 kes dan satu lagi kes di negeri itu masih dalam siasatan dengan keseluruhan 1,078 kes.

Melaka dikhuatiri mengikut jejak langkah Kuala Lumpur apabila dua daerahnya iaitu Alor Gajah dengan 27 kes dan Melaka Tengah (36) yang kini dikategorikan sebagai zon jingga mula menghampiri ke zon merah.

Satu lagi daerah iaitu Jasin sudah dikategorikan sebagai zon merah dengan 53 kes.

Daerah lain yang turut dikategorikan sebagai zon merah ialah masing-masing dua di Perak iaitu Hilir Perak sebanyak 66 kes dan Kinta (94); Negeri Sembilan iaitu Rembau (48) dan Seremban (180); Pahang membabitkan Jerantut (61) dan Kuantan (43) dan Sarawak iaitu Kuching (192) dan Kota Samarahan (45).

Tiga daerah di Johor juga di bawah zon merah iaitu Batu Pahat dengan 48 kes; Johor Bahru (158) dan Kluang (175) manakala masing-masing satu di Kelantan iaitu Kota Bharu dengan 85 kes dan Sabah di Tawau (67).

Sementara itu, sebanyak 17 daerah di seluruh negara dikategorikan sebagai zon jingga iaitu yang mencatatkan 20 hingga 40 kes COVID-19.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X