Khamis, 9 April 2020 | 12:20pm
 Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor NSTP/AIZUDDIN SAAD
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor NSTP/AIZUDDIN SAAD

COVID-19: Henti pakej bantuan kepada majikan jika langgar syarat - MTUC

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang menghentikan bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) PKS Tambahan terhadap majikan jika didapati melanggar syarat bantuan.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor, berkata pelanggaran syarat itu merangkumi tindakan memberhentikan, memotong gaji dan memotong cuti pekerja serta mengurangkan tenaga kerja termasuk golongan pekerja asing.

Katanya, ia susulan pihaknya menerima laporan ada majikan memberhentikan pekerja asing tanpa notis dan bantuan kemanusiaan mulai 18 Mac lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“MTUC terkejut apabila 32 pekerja asing dari Nepal, Bangladesh dan Myanmar datang memohon bantuan di Pusat Kajian Pekerja Migran (MRC) MTUC.

“MTUC mencadangkan kepada kerajaan, Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia untuk memberhentikan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat kepada majikan dan PKS yang dilaporkan sengaja melanggar syarat bantuan.

“Kerajaan disaran mengambil tindakan dengan segera kerana jika kesemua pekerja asing ini mengambil tindakan, ia akan memburukkan imej negara pada mata dunia dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 6 April lalu, sekumpulan pekerja asing mengadu di MRC mendakwa majikan memberhentikan mereka tanpa sebarang notis selepas kerajaan melaksanakan PKP bagi mengawal penularan wabak COVID-19.

Hasil siasatan MTUC mendapati pekerja asing terbabit tidak dibayar baki gaji dan kebajikan mereka diabaikan menyebabkan hidup melarat di hostel yang disewa majikan di Subang Jaya.

Susulan itu Abdul Halim berkata, MTUC mencadangkan kerajaan dan majikan mencari kaedah alternatif untuk menjalankan semula operasi industri, dengan syarat dan peraturan keselamatan serta kesihatan untuk memutuskan rantaian COVID-19.

Katanya, majikan wajar mengikut arahan kerajaan dan melaporkan masalah mereka kepada Kementerian Sumber Manusia untuk khidmat nasihat.

“Jika operasi tidak dapat dijalankan, MTUC mencadangkan kerajaan dan majikan dengan kerjasama kedutaan negara asing menghantar pulang pekerja asing terbabit ke negara asal,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X