Khamis, 9 April 2020 | 4:00pm
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.FOTO/ NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.FOTO/ NSTP/Mohd Fadli Hamzah

COVID-19: Bantuan RM200 juta bantu 33,000 usahawan mikro

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM200 juta diperuntukkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bagi membantu 33,000 usahawan mikro yang terjejas perniagaan akibat penularan COVID-19.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata bantuan kewangan itu disediakan menerusi Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro - COVID (CBRM).

Katanya, skim ini adalah pembiayaan suntikan modal pusingan kepada usahawan mikro untuk memulih dan memulakan semula perniagaan sedia ada yang terjejas tanpa dikenakan sebarang caj.

Beliau berkata, usahawan yang disenarai hitam juga layak memohon pembiayaan ini namun bergantung kepada kes tertentu.

“Bantuan itu disediakan melalui TEKUN Nasional (TEKUN) di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN Tambahan) PKS.

“Menerusi skim CBRM ini, usahawan boleh memohon pembiayaan maksimum sehingga RM10,000,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Wan Junaidi berkata, skim CBRM ini terbuka kepada semua sektor perniagaan dengan tempoh bayaran balik maksimum sehingga tiga tahun dan usahawan akan diberi penangguhan bayaran balik selama enam bulan.

Katanya, usahawan boleh membuat memohon pembiayaan itu dengan mengisi borang secara dalam talian di https://tinyurl.com/PermohonanCBRM atau melayari www.tekun. gov.my.

“Saya berharap Skim CBRM ini akan dapat membantu meringankan beban usahawan mikro dan seterusnya merancakkan kegiatan ekonomi Malaysia,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X