Jumaat, 10 April 2020 | 6:24pm

Bedah siasat pesakit COVID-19 temui virus berbahaya

KUALA LUMPUR: Satu mayat pesakit COVID-19 yang dibedah siasat mendapati virus berbahaya ditemui bukan sahaja pada badan dan organ, malah turut dikesan di permukaan mayat serta cecair badan seperti air kencing.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata penemuan itu selaras dengan pengalaman Kementerian Kesihatan (KKM) yang dipersetujui beberapa badan termasuk Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam dan badan lain.

"Proses bedah siasat itu adalah mengikut Seksyen 16 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Tatacara pengurusan kematian pula hanya dibenarkan tayamum di beg jenazah membabitkan orang Islam dan hanya bagi bukan Islam, perkara yang berkaitan hanya dibuat di permukaan beg mayat," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata bedah siasat itu dijalankan oleh Institut Perubatan Forensik Negara di bawah Seksyen 16 Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Penemuan bedah siasat mendapati terdapat virus COVID-19 dikesan pada permukaan badan mayat melalui analisis Real-time Polymerase Chain Reaction (rt-PCR) yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

"Penemuan baharu ini adalah selaras dengan pandangan yang dikemukakan oleh KKM sebelum ini dan dipersetujui oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang telah bersidang pada 15 Mac serta Majlis Perundingan Malaysia, Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, dan Tao (MCCBCHST) pada 16 Mac," katanya.

Katanya ia selaras dengan tatacara pengurusan jenazah Islam pesakit COVID-19 yang hanya dibenarkan untuk ditayamum di atas permukaan beg jenazah, manakala bagi mayat bukan Islam, apa-apa upacara keagamaan dan tradisi hanya dibuat di atas permukaan beg mayat.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) lengkap berpakaian perlindungan diri (PPE) bersiap untuk membuat saringan COVID-19 kepada penduduk di bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion, pada Rabu. - NSTP/Asyraf Hamzah
    Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) lengkap berpakaian perlindungan diri (PPE) bersiap untuk membuat saringan COVID-19 kepada penduduk di bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion, pada Rabu. - NSTP/Asyraf Hamzah
    Berita Harian X