Jumaat, 10 April 2020 | 11:43pm
Anggota ATM membuat kawalan sekitar kawasan flat Selangor Mansion dan Malayan Mansion. - NSTP/Aizuddin Saad
Anggota ATM membuat kawalan sekitar kawasan flat Selangor Mansion dan Malayan Mansion. - NSTP/Aizuddin Saad

Tiada laporan anggota ATM dibaling air kencing

KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur tidak menerima sebarang laporan penghuni flat Selangor Mansion, yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) membaling air kencing terhadap anggota pasukan keselamatan.

Ia berikutan laporan sebuah akhbar tempatan (bukan BH) yang menyiarkan artikel 'Askar pakai helmet, elak air kencing warga asing' yang disiarkan, hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata satu laporan polis dibuat oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Rabu lalu yang mendakwa dibaling objek seperti botol, bungkusan sampah dan pasu bunga oleh penghuni flat berkenaan.

"Ketika kejadian itu, anggota ATM terbabit sedang bertugas untuk pemasangan 'concertina wire.

"Setakat ini, tiada sebarang laporan polis berhubung kejadian anggota ATM dibaling dengan air kencing seperti dinyatakan dalam artikel sebuah akhbar," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Beliau berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan keadaan keselamatan di kawasan berkenaan terkawal.

"Pemakaian helmet oleh anggota ATM adalah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh ATM.

"Siasatan kes ini dijalankan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu cuba mendatangkan cedera kepada penjawat awam dengan membaling botol dan pasu bunga," katanya.

Mazlan berkata, rakaman percakapan pengadu sudah dilakukan dan siasatan lanjut akan dijalankan pihak Polis Kuala Lumpur.

Tindakan tegas dan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana penghuni yang didapati terbabit dalam kes yang dilaporkan itu.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X