Sabtu, 11 April 2020 | 1:28pm
Kelihatan penghantar barang menunggu kelulusan untuk menyerahkan barangan kepada penghuni di Flat Selangor Mansion dan Malayan Mansion yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).- Foto NSTP/Aswadi Alias
Kelihatan penghantar barang menunggu kelulusan untuk menyerahkan barangan kepada penghuni di Flat Selangor Mansion dan Malayan Mansion yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).- Foto NSTP/Aswadi Alias

COVID-19: Dua lagi dari Selangor Mansion disyaki positif dibawa keluar

KUALA LUMPUR: Dua lagi penghuni flat Selangor Mansion, Jalan Masjid India, di sini, dibawa menaiki ambulans pagi tadi selepas dipercayai positif COVID-19.

Ambulans dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Setapak itu tiba kira-kira jam 11.30 pagi untuk mengambil dua individu berkenaan.

Turut kelihatan tiga hingga empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM) lengkap dengan peralatan pelindung diri (PPE) di dalam ambulans.

Dua petugas turut melakukan proses nyah kuman dan sanitasi di kawasan yang dilalui dua individu, itu selepas mereka menaiki ambulans.

Ambulans beredar kira-kira jam 11.40 pagi, namun lokasi yang dituju masih tidak diketahui.

Tinjauan mendapati, suasana di sekitar dua bangunan berkenaan terkawal dan ujian saringan terhadap penghuni kedua-dua bangunan masih dijalankan.

Semalam, seramai 32 warga asing dari flat Selangor Mansion dan Malayan Mansion dibawa menaiki bas selepas dipercayai positif COVID-19.

Mereka dilihat dipindahkan dari kediaman masing-masing bermula jam 12.50 tengah hari menaiki bas.

Pada masa ini hampir keseluruhan kawasan sekitar Jalan Masjid India, dikawal oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), terutama di kedua-dua blok flat berkenaan.

Selasa lalu, kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua bangunan berkenaan.

Arahan PKPD itu dilakukan berikutan terdapat 15 kes positif jangkitan COVID-19 di kedua-dua bangunan itu.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X