Sabtu, 11 April 2020 | 6:25pm
Petugas Kementerian Kesihatan lengkap memakai sut PPE ketika memasuki Flat Selangor Mansion untuk membawa keluar penghuni yang dipercayai positif COVID-19. - Foto BERNAMA
Petugas Kementerian Kesihatan lengkap memakai sut PPE ketika memasuki Flat Selangor Mansion untuk membawa keluar penghuni yang dipercayai positif COVID-19. - Foto BERNAMA

COVID-19: Kes baru di Selangor Mansion naik mendadak

KUALA LUMPUR: Kes positif COVID-19 yang direkodkan di Bangunan Selangor Mansion di Jalan Masjid India, di sini naik kepada 43 kes iaitu pertambahan sebanyak 32 kes, setakat hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, situasi itu berbeza di satu lagi bangunan yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu Bangunan Malayan Mansion, yang hanya merekodkan empat kes positif, sama direkod seperti semalam.

"Di Bangunan Malayan Mansion, jumlah disaring 783 setakat ini, dan kes positif empat kes tiada pertambahan.

Anggota RELA dengan kelengkapan pakaian perlindungan diri (PPE) pada tinjauan di Bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion pada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). - NSTP/Aswadi Alias

Sementara di Selangor Mansion, jumlah disaring adalah 898 orang, positif 43 kes iaitu pertambahan 32 kes.

"Di Menara One City (yang turut diletakkan di bawah PKPD) jumlah yang disaring adalah 2,054 dan jumlah kes positif masih kekal 30 kes," katanya pada sidang media hari ini.

BH hari ini melaporkan, PKPD perlu dikuatkuasakan di Selangor Mansion dan Malayan Mansion, Jalan Masjid India, di sini, berikutan jumlah positif COVID-19 yang dikesan semakin serius, selain faktor kesesakan di lokasi berkenaan.

Ini kerana, dua blok kediaman itu dihuni antara 20 hingga 30 pekerja warga Bangladesh, India dan Pakistan bagi setiap unit, sekali gus menyaksikan kepadatan penduduk yang tinggi di kawasan berkenaan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X