Ahad, 12 April 2020 | 11:43am
Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr IR Mohd Hamdi Abd Shukor
Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr IR Mohd Hamdi Abd Shukor

COVID-19: Robot prototaip "Mak Cik Kiah" ganti barisan hadapan

KUALA LUMPUR: Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal menggunakan robot bagi mengurangkan pendedahan petugas barisan hadapan kesihatan dalam memberikan khidmat kepada pesakit coronavirus (COVID-19).

UKM dalam satu kenyataan berkata, prototaip robot yang dibangunkan dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan DF Automation and Robotics Sdn Bhd (DF) itu adalah robot penghantaran pertama buatan Malaysia, yang diberi nama Makcik Kiah 19 (MCK19) atau Key Innovations Assisting Healthcare (KIAH), yang diinspirasikan daripada ucapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

Sebagai permulaan, sistem automasi ini dirancang untuk menggantikan petugas mengedarkan sajian makanan bagi pesakit yang dikuarantin tetapi bagi kategori satu dan dua iaitu yang dikesan positif COVID-19 tetapi sihat atau bergejala ringan.

Dalam pada itu, percubaan klinikal terhadap keupayaan robot ini juga akan dilakukan tidak lama lagi.

Menurut Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr IR Mohd Hamdi Abd Shukor, UKM menyambut baik kolaborasi daripada UTM dan DF serta berterima kasih di atas sokongan padu Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Malaysia Technology Development Cooperation (MTDC) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutamanya bagi fasa percubaan ini.

Sementara itu, Pengarah HCTM, Prof Datuk Dr Hanafiah Harunarashid, berkata penggunaan robot dan inovasi baharu mengunakan teknologi Internet of Things (IoT) dalam memerangi serta merawat pesakit COVID-19 dapat mengurangkan risiko petugas perubatan dan membuka ruang kepada inovasi yang lebih canggih pada masa akan datang.

“Kami ada perancangan untuk menghasilkan robot yang boleh mengambil suhu badan dan tekanan darah serta melakukan sanitasi nyah virus di dalam wad pada masa akan datang,” katanya.

Inovasi ini juga menarik minat Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir yang berkunjung ke HCTM pada 10 April lalu bagi melihat sesi demonstrasi prototaip teknologi robotik berkenaan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X