Ahad, 12 April 2020 | 4:21pm
Kedai gunting rambut di sekitar Pantai Dalam, Kuala Lumpur tidak beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika tinjauan hari ini. - foto BERNAMA
Kedai gunting rambut di sekitar Pantai Dalam, Kuala Lumpur tidak beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika tinjauan hari ini. - foto BERNAMA

COVID-19: Wajarkah kedai gunting rambut dibenarkan beroperasi semasa PKP?

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini masuk minggu keempat, menyaksikan pelbagai permasalahan disuarakan rakyat termasuklah isu rambut panjang dan tidak terurus.

Ini susulan kerajaan melarang semua jenis perniagaan untuk beroperasi kecuali yang berkaitan dengan perkhidmatan keperluan seperti makanan dan ubat-ubatan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

Larangan itu turut menyebabkan pengusaha kedai gunting rambut dan salon kecantikan akur dan menutup perniagaan mereka.

Ini sekali gus menyebabkan sebahagian golongan masyarakat mengeluh kerana rambut masing-masing sudah tidak terurus terutama lelaki yang bukan sahaja rambut mereka sudah panjang daripada biasa, malah misai dan jambang juga sudah berserabut.

Bagi wanita pula, ada sebahagian yang mengeluh ‘warna’ rambut mereka sudah mulai luntur selain tidak boleh membuat rawatan rambut seperti biasa demi menjaga kecantikan dan penampilan masing-masing.

Bagaimanapun, pengumuman kerajaan untuk memberi kelonggaran kepada beberapa jenis perniagaan termasuk kedai gunting rambut untuk dibenarkan beroperasi semula seolah-olah memberi kelegaan kepada orang ramai.

Namun adakah kelonggaran itu sesuatu yang wajar dilakukan ketika Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih sibuk ‘berperang’ dengan COVID-19 dan mahu semua orang duduk di rumah untuk memutuskan rantaian virus berkenaan.

Perkara ini jelas menimbulkan banyak dilema dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga kini masih meneliti keperluan untuk memberi kebenaran kepada kedai gunting rambut dan salon beroperasi semula.

Berita Harian (BH) menerusi Facebook dan Twitter sejak malam tadi menjalankan undian umum kepada pembaca berhubung perkara itu dengan tajuk undian “Wajarkah membenarkan khidmat kedai gunting rambut beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)?

Hingga jam 4 petang tadi, 95 peratus daripada 80,700 pengundi di Facebook Berita Harian Online tidak bersetuju manakala selebihnya iaitu 5 peratus bersetuju.

Di Twitter @bharianmy pula, sebanyak 93.1 peratus daripada 3,775 pengundi tidak bersetuju manakala 6.9 peratus lagi bersetuju.

Menerusi ruangan komen di kedua-dua laman media sosial itu, rata-rata netizen tidak bersetuju operasi kedai gunting rambut dibenarkan dalam tempoh PKP dilaksanakan kerana bimbang ia akan menggagalkan usaha kerajaan memerangi pandemik COVID-19 di negara ini.

Ada juga yang bimbang ia akan mewujudkan kluster baru COVID-19 iaitu ‘kluster gunting rambut’ kerana ini akan menyebabkan orang ramai akan keluar dengan alasan untuk menggunting rambut sekali gus meninggikan risiko jangkitan.

Ramai juga yang berpendapat menggunting rambut itu bukan perkara yang penting dan isu ‘rambut panjang dan tidak terurus’ tidak perlu diperbesarkan.

Namun ada juga yang berpendapat, jika pengusaha kedai rambut dibenarkan beroperasi, ia mesti dilaksanakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Ini termasuk mengehadkan hari dan waktu operasi serta jumlah pelanggan, peralatan gunting rambut perlu disteril untuk setiap pelanggan dan penggunting rambut perlu memakai pakaian perlindungan diri (PPE).

Pendapat anda bagaimana pula? Adakah anda bersetuju khidmat kedai gunting rambut perlu dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP yang kini sudah pun dilanjutkan ke Fasa Ketiga bermula 15 April hingga 28 April depan?

Buat undian anda sekarang di Facebook Berita Harian Online dan Twitter @bharianmy dan tempoh undian umum ini akan dijalankan selama tujuh hari hingga Sabtu depan.

Berita Harian X