Ahad, 12 April 2020 | 8:42pm

COVID-19: Penduduk, pekerja sekitar Masjid India jalani saringan

KUALA LUMPUR: Ratusan individu warga tempatan dan warga asing yang tinggal dan bekerja di sekitar kawasan Jalan Masjid India, di sini, menjalani saringan COVID-19.

Mereka termasuk pekerja pasar raya, pekerja di premis sektor dibenarkan serta penduduk rumah kedai di Masjid India dan kawasan berhampiran.

Saringan itu dibuat oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta dipantau pihak polis, tentera dan anggota RELA.

Proses saringan bermula pada jam 1 tengahari dilakukan secara berperingkat selepas saringan ke atas semua penduduk Selangor Mansion dan Malayan Mansion yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak Rabu lalu.

Difahamkan, ujian saringan itu dilakukan berikutan ramai warga asing tinggal berhampiran bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion.

Tinjauan mendapati mereka melakukan saringan di khemah yang disediakan berhampiran dua bangunan berkenaan.

Sepasukan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) lengkap peralatan perlindungan diri (PPE) mula menyaring semua individu berkenaan.

Terdahulu, difahamkan seramai 48 penduduk di kedua-dua flat yang dikenakan PKPD di Jalan Masjid India, di sini, disyaki positif COVID-19.

Setakat ini, semua mereka dilaporkan sudah dihantar ke Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk tindakan rawatan susulan.

Berdasarkan maklumat sumber, seramai 43 individu adalah membabitkan penduduk Selangor Mansion manakala selebihnya penduduk dari Malayan Mansion.

Jumlah itu bagaimanapun berkemungkinan akan meningkat selepas keputusan saringan kesemua penduduk di dua flat berkenaan diperoleh.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Petugas daripada pelbagai agensi termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia dan PDRM yang lengkap berpakaian peralatan perlindungan diri (PPE) mengumpulkan penghuni dan pekerja di sekitar kawasan Masjid India untuk menjalani saringan Covid-19. - Foto Asyraf Hamzah
    Petugas daripada pelbagai agensi termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia dan PDRM yang lengkap berpakaian peralatan perlindungan diri (PPE) mengumpulkan penghuni dan pekerja di sekitar kawasan Masjid India untuk menjalani saringan Covid-19. - Foto Asyraf Hamzah
    Berita Harian X