Selasa, 14 April 2020 | 12:00pm
IMR kini menjalankan ujian makmal terhadap vaksin IBV dan akan mengubah suai mengikut keperluan manusia jika ia terbukti merawat COVID-19. - Foto hiasan
IMR kini menjalankan ujian makmal terhadap vaksin IBV dan akan mengubah suai mengikut keperluan manusia jika ia terbukti merawat COVID-19. - Foto hiasan

Vaksin COVID-19 jalani kajian makmal

KUALA LUMPUR: Satu daripada tiga vaksin yang sedang diusahakan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk merawat COVID-19 kini menjalani kajian di peringkat makmal.

Usaha itu dijalin menerusi kerjasama dengan Malaysian Vaccines and Pharmaceutical Sdn Bhd (MVP) serta Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) Universiti Malaya (UM).

Ketua Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit (IDRC) IMR, Dr Norazah Ahmad, menjelaskan ia adalah kajian penggunaan semula vaksin yang sebelum ini diberikan kepada ternakan ayam untuk merawat Infectious Bronchitis Virus (IBV).

Bagaimanapun, katanya, kandungan vaksin berkenaan akan diubah suai mengikut keperluan manusia sekiranya kajian lanjut di peringkat makmal mendapati ia berkesan merawat COVID-19.

“Usaha ini dijalankan selepas kajian dirintis oleh penyelidik luar negara memaparkan bukti bahawa vaksin IBV berupaya digunakan dalam usaha merawat COVID-19.

“Oleh itu, kita nak tengok sejauh mana keberkesanannya menerusi kajian yang lebih mendalam,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Ketua Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit (IDRC) IMR, Dr Norazah Ahmad. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Ketua Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit (IDRC) IMR, Dr Norazah Ahmad. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Pada 2 Mac lalu, sekumpulan penyelidik di Institut Penyelidikan MIGAL dekat Israel, dilaporkan sedang giat menghasilkan vaksin COVID-19 yang dijangka berupaya dibangunkan dalam tempoh antara lapan hingga 10 minggu.

Penghasilan penawar COVID-19 berteraskan vaksin sama untuk merawat IBV itu bagaimanapun menjalani proses pengubahsuaian untuk menepati ciri jujukan sel tubuh badan manusia.

Menerusi pemerhatian awal, kumpulan penyelidik berkenaan mendapati mekanisme jangkitan yang digunakan sel virus COVID-19 mempunyai persamaan genetik dengan kaedah penularan IBV.

Dr Norazah berkata, dua lagi vaksin yang akan dibangunkan masih menjalani proses penyedia- an kertas cadangan projek, sebelum dipertimbangkan untuk diberi kelulusan dan dikendalikan mengikut garis panduan berkaitan.

“Vaksin kedua ini adalah hasil kerjasama antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan IMR dengan menggunakan kaedah menyahaktifkan virus COVID-19 supaya ia mampu mencetuskan tindak balas sistem pertahanan badan manusia.

“Vaksin ketiga dikenali sebagai MRNA atau ‘pengutus asid ribonukleik’ yang juga dalam peringkat penyediaan kertas cadangan projek,” katanya.

Ahad lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata penyelidikan vaksin untuk COVID-19 yang sedang dijalankan mungkin mengambil masa kira-kira setahun.

Beliau berkata selain Malaysia, kajian mendapatkan vaksin sama dijalankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Gabungan Inovasi Persediaan Wabak (CEPI), selain beberapa pertubuhan antarabangsa.

“Sama-sama kita tunggu dan berharap dapat ditemukan vaksin dalam masa setahun,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di Putrajaya.

Berita Harian X