Jumaat, 17 April 2020 | 9:43pm
Prof Dr Sazaly Abu Bakar
Prof Dr Sazaly Abu Bakar

COVID-19: Malaysia di landasan putuskan rantaian jangkitan

KUALA LUMPUR: Trend penurunan kes baharu COVID-19 menyaksikan Malaysia kini berada di landasan tepat untuk memutuskan rantaian jangkitan pandemik itu, sekali gus menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pakar virologi, Prof Dr Sazaly Abu Bakar, berkata trend kes pulih yang melebihi kes baharu selama lima hari berturut-turut, serta penurunan jumlah kumulatif kes baharu mingguan, menggambarkan PKP berjaya mengawal penularan COVID-19.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kepentingan mengekalkan trend penurunan itu sehingga PKP Fasa 3 berakhir pada 28 April depan, sebelum kerajaan boleh memutuskan untuk menamatkan pelaksanaan PKP.

“Jika mahu tamatkan PKP, jumlah kumulatif kes baharu mingguan perlu terus turun sehingga kurang daripada 50 kes dalam tempoh dua minggu ini.

“Jika kita berjaya mencapai ke tahap itu, ia bermakna jumlah individu yang boleh menjangkiti wabak itu dalam komuniti sangat rendah, sekali gus PKP boleh ditamatkan,” katanya kepada BH, hari ini.

Jumlah kes pulih ketika ini adalah lebih tinggi daripada kes baharu bagi tempoh lima hari berturut-turut, bermula 13 April lalu.

Jumlah kumulatif mingguan sejak PKP dilaksanakan juga mula menunjukkan penurunan apabila mencatatkan 1,024 kes pada minggu keempat (8 April-14 April), berbanding 1,197 pada minggu ketiga (1 April-7 April).

Mengulas lanjut, Dr Sazaly berkata, satu lagi faktor yang perlu diambil kira sebelum PKP ditamatkan ialah Kementerian Kesihatan (KKM) perlu mengetahui kadar jangkitan COVID-19 dalam komuniti.

Katanya, kadar jangkitan dalam komuniti boleh diukur menerusi saringan bagi mengesan antibodi terhadap sejumlah orang awam secara rawak dari seluruh negara.

Menerusi pengesanan itu, katanya, KKM dapat mengetahui peratusan individu positif COVID-19 dalam komuniti, namun tidak bergejala serta kemungkinan ia berjangkit semula selepas PKP ditamatkan.

“Contohnya, saringan dibuat dalam kalangan kira-kira satu hingga tiga peratus daripada kira-kira 10 juta orang dewasa di seluruh negara. Hasil saringan itu nanti akan menggambarkan kadar jangkitan wabak ini dalam komuniti.

“Kadar ini penting untuk persiapan kerajaan, industri, sekolah, universiti dan lain-lain bagi berdepan penularan semula COVID-19 pasca PKP, khususnya daripada segi jumlah topeng muka dan cecair pembasmi kuman yang perlu disediakan serta sama ada penjarakkan sosial perlu terus diamalkan.

“Jika tiada data ini, kita berisiko menjadi seperti Jepun, yang menarik perintah berkurung terlalu awal tanpa memiliki maklumat ini menyebabkan penularan semula COVID-19 yang lebih teruk hingga perintah berkurung terpaksa dilaksanakan semula,” katanya.

Berita Harian X