Jumaat, 24 April 2020 | 3:04pm
Ainul Mardhiah kini semakin cerdas dan peka kepada perubahan sekelilingnya. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman
Ainul Mardhiah kini semakin cerdas dan peka kepada perubahan sekelilingnya. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Ramadan bermakna buat Ainul Mardhiah

MELAKA: Ramadan ini genap setahun adik, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan dalam mulutnya, dikenali sebagai `Germ Cell Tumor' di London, United Kingdom (UK).

Sepanjang tempoh setahun yang berlalu, banyak perkembangan positif dilalui bayi berusia 20 bulan itu.

Bukan saja dari segi berat badannya yang sudah mencecah 7.3 kilogram, tetapi juga kepekaan serta tindak balasnya kepada keadaan sekeliling.

Bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 25, mengakui puteri sulung kesayangannya itu sudah mampu memberi tindak balas terhadap apa yang diucapkan kepadanya, sama ada menggeleng kepala sebagai tanda tidak mahu atau mengangguk tanda setuju.

"Kami sangat bersyukur kerana Ainul menunjukkan perkembangan kesihatan yang sangat positif. Jika kelmarin, dia pandai menutup alat bantuan pernafasan (trancy) dengan tangan sendiri dan mengeluarkan suara, hari ini menunjukkan pula reaksi lain yang sudah pasti menggembirakan kami," katanya ketika ditemui di rumahnya dekat Ayer Molek, di sini hari ini.

Ahmad Safiuddin berkata, biarpun Ramadan tahun ini disambut dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau sekeluarga tetap bersyukur kerana dapat menyambutnya bersama keluarga di tanah air, berbanding tahun lalu.

Tahun lalu, katanya, mereka diuji dengan kesengsaraan Ainul sehinggalah mereka ditawarkan untuk membawa anaknya itu ke London bagi menjalani pembedahan membuang ketumbuhan terbabit.

Berat badan Ainul kini sudah mencecah 7.3 kilogram. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman
Berat badan Ainul kini sudah mencecah 7.3 kilogram. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Ahmad Safiuddin sekeluarga bersyukur kerana dapat menyambutnya bersama keluarga di tanah air, berbanding tahun lalu. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman
Ahmad Safiuddin sekeluarga bersyukur kerana dapat menyambutnya bersama keluarga di tanah air, berbanding tahun lalu. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

"Ramadan tahun lalu ditempuh dalam suasana yang sukar dan risau kerana ketumbuhan dalam mulut Ainul membesar sehingga memaksa kami mencari jalan untuk merawat, sekali gus menyelamatkan nyawa anak sulung kami.

"Sehinggalah kami mendapat tawaran daripada Dr Nur Amalina Che Bakri, sekali gus menggerakkan kami terbang ke London seminggu sebelum Aidilfitri bagi membuang ketumbuhan itu, yang akhirnya diizinkan Allah pembedahan itu membuahkan hasil," katanya.

Ainul Mardhiah sebelum ini menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut selepas bertarung nyawa selama lima jam di hospital kanak-kanak di London, UK pada 10 Jun tahun lalu.

Bayi itu pernah menjalani Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) di hospital terbabit sebelum pembedahan berkenaan.

Pembedahan membabitkan perbelanjaan mencecah RM1 juta itu berjaya direalisasi sekumpulan pakar bedah dan anestetik, diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway, selain bantuan pelatih pakar bedah, Dr Nur Amalina Che Bakri.

Menyentuh sambutan Aidilfitri tahun ini, Ahmad Safiuddin berkata, ia sangat dinantikan oleh ahli keluarga berkenaan.

Katanya, ini kerana hari raya kali ini adalah yang pertama diraikan bersama Ainul yang semakin sihat, ceria, lincah dan aktif.

"Ainul kini sudah pandai bermain sendiri, cuma kami kena selalu pantau kerana apabila dia terlalu aktif, saluran bantuan oksigen yang dipasang di lehernya akan tercabut.

"Ainul hanya boleh bernafas tanpa menggunakan bantuan oksigen sekitar 10 minit, jika lebih daripada tempoh itu dia akan terbatuk," katanya.

Sementara itu, ibu Ainul, Nurul Erwani Zaidi, 25, berkata perkembangan terkini anaknya itu adalah fasa baharu yang dinantikan mereka sekeluarga kerana dapat bermain dan bergurau, walaupun anaknya itu belum mampu berjalan seperti kanak-kanak lain.

Ahmad Safiuddin dan Nurul Erwani bersama Ainul Mardhiah yang kini semakin aktif. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman
Ahmad Safiuddin dan Nurul Erwani bersama Ainul Mardhiah yang kini semakin aktif. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Katanya, doktor memaklumkan, Ainul akan mengalami masalah untuk berjalan dalam tempoh tertentu dan ia normal kepada kanak-kanak yang lahir tidak cukup bulan.

"Tahun ini sudah boleh bermain dengan Ainul, melihat senyumannya. Kami berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan Ainul termasuk Dr Amalina yang sentiasa mengambil berat perkembangan anak kami," katanya.

Berita Harian X