Isnin, 27 April 2020 | 2:28pm

Tarikh akhir permohonan baharu, rayuan BPN 30 April

KUALA LUMPUR: Penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) bagi status permohonan baharu dan rayuan yang sudah diluluskan permohonannya akan menerima bayaran itu bulan depan secara sekali gus.

Berdasarkan soalan lazim (FAQ) dikeluarkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), permohonan baharu dan rayuan ini hendaklah dibuat selewat-lewatnya 30 April ini.

"Setiap permohonan baharu dan rayuan yang diterima akan mula diproses pada Mei. Bagi permohonan yang lulus, bayaran secara sekali gus juga akan dilakukan pada Mei," katanya.

Katanya, bagi isi rumah mahupun individu bujang yang memenuhi kriteria tetapi tidak tersenarai atau tidak lulus, mereka boleh membuat permohonan baharu atau rayuan melalui portal rasmi BPN di https://bpn.hasil.gov.my.

BPN adalah bantuan tunai secara one-off disediakan kerajaan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) khusus meringankan beban kewangan golongan B40 dan M40 yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak COVID-19.

Pemberian BPN bagi golongan B40 adalah berdasarkan pangkalan data Bantuan Sara Hidup (BSH), manakala BPN bagi golongan M40 pula adalah berdasarkan data percukaian LHDN.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, sebelum ini memaklumkan lebih RM5.2 bilion bayaran BPN sudah dibuat kepada 7.6 juta penerima dalam fasa pertama agihan bantuan itu.

Katanya, RM480 juta sudah dikreditkan ke dalam 1.2 juta akaun penerima BPN membabitkan golongan M40 sehingga 19 April lalu.

Berita Harian X