Selasa, 28 April 2020 | 2:28pm
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr M Iqbal Saripan.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr M Iqbal Saripan.

COVID-19: Anjakan transformasi PdP di IPT

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan COVID-19 memberi anjakan transformasi yang besar kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) di institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr M Iqbal Saripan, berkata jika dilihat dari sudut positif, COVID-19 menjadi ejen bagi mempercepat dan memperluas pelaksanaan PdP secara dalam talian sama ada di universiti awam (UA) atau institusi pengajian tingga swasta (IPTS).

M Iqbal berkata, sejak 2015, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sudah menerapkan kaedah PdP secara dalam talian yang ketika itu dipanggil pembelajaran teradun sokongan, iaitu PdP secara konvensional yang disokong dengan kaedah secara dalam talian.

"Dari segi persediaan pensyarah, ini bukan perkara baharu dan ketika itu, penerimaan dalam kalangan pensyarah di UPM adalah antara 20 dan 30 peratus.

"Pada 2018, penerimaan sudah mencapai 60 peratus. Pada 2019, Senat UPM memutuskan supaya semua kelas wajib mempunyai e-pembelajaran di mana kelas bersemuka boleh digantikan (dengan e-pembelajaran) sebanyak tiga minggu.

"Jadi, apabila berlaku krisis COVID-19 ini, saya lihat ada hikmahnya, yang mana ia menjadi ejen transformasi kepada kaedah e-pembelajaran yang lebih meluas, yang membolehkan ia dilaksanakan dalam tempoh yang lebih lama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada Siri Wacana Khas COVID-19: Pendidikan Tinggi Pasca COVID-19 (Perubahan atau Kesinambungan) yang disiarkan secara langsung melalui aplikasi Zoom dan Youtube.

Ahli panel lain ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Datuk Dr Noor Azizi Ismail; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof Dr Mohd Shahir Shamsir dan Penolong Naib Canselor (Pengurusan Strategi dan Kualiti) Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Prof Dr Harshita Aini Haroon, manakala Timbalan Pengarah Strategi Korporat dan Komunikasi (CoSComm) UPM, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain bertindak sebagai moderator.

Mengulas isu jurang digital bagi pelaksanaan e-pembelajaran antara pelajar yang berada di bandar dan luar bandar, M Iqbal menjelaskan, beliau tidak melihat isu itu sebagai satu yang sangat kritikal jika IPT berbalik kepada matlamat yang ingin dicapai iaitu pelajar mencapai hasil pembelajaran berkenaan.

"Kita mempunyai dua kaedah pengajaran iaitu segerak dan tidak segerak. Bagi pelajar yang mempunyai liputan internet yang baik, kaedah segerak iaitu secara masa sebenar dan interaktif boleh dilakukan, contohnya melalui Zoom.

"Bagi yang tidak mempunyai liputan yang baik, pensyarah boleh merakam sesi e-pembelajaran berkenaan untuk dimuat turun oleh pelajar atau rakaman audio melalui Podcast atau nota Powerpoint yang diberikan kepada pelajar.

"Jadi bagi saya, selagi pelajar dapat kenal pasti hasil pengajaran yang mahu disampaikan, selagi itulah hasrat pengajaran itu akan tercapai," katanya.

Sementara itu, Noor Azizi berkata, UMK tidak berdepan masalah dalam pelaksanaan e-pembelajaran kerana ia sudah giat dilaksanakan sejak 2016.

"Sebanyak 90 peratus pensyarah bersedia melaksanakannya. Kakitangan lain juga bekerja dari rumah untuk terus memastikan operasi universiti berjalan seperti biasa kerana beberapa keputusan penting perlu dibuat sepanjang PKP ini," katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan e-pembelajaran dan perbincanagn secara dalam talian juga membuka ruang kepada universiti untuk melakukan penjimatan, antaranya dari segi pergerakan yang memerlukan kos yang tinggi.

"Melalui penjimatan ini, universiti dapat melabur dalam perkara lain, contohnya dalam e-pembelajaran yang lebih berkesan dan mewujudkan kampus pintar. Mungkin kewujudan kampus yang gah sudah tidak perlu lagi dan banyak perkara lain kita boleh lakukan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X