Khamis, 30 April 2020 | 8:07pm
Pejabat LHDN cawangan Petaling Jaya. - Foto NSTP
Pejabat LHDN cawangan Petaling Jaya. - Foto NSTP

Sistem permohonan Geran Khas PRIHATIN dibuka esok

KUALA LUMPUR: Sistem permohonan Geran Khas PRIHATIN (GKP) akan dibuka kepada orang ramai mulai jam 9 pagi esok.

Berikutan itu, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan, Hasil Care Line (HCL) yang mengendalikan talian 03-89111000 atau 603-89111100 (luar negara) akan beroperasi seperti biasa pada 1 dan 2 Mei ini, dari jam 9 pagi hingga 4.30 petang bagi menjawab sebarang pertanyaan berkaitan GKP.

Dalam satu kenyataan hari ini, Bahagian Komunikasi Korporat Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, menjelaskan selain menghubungi HCL, orang ramai juga boleh mengajukan sebarang pertanyaan berkaitan GKP kepada LHDNM melalui empat kaedah lain.

Melalui HASiL Live Chat, disediakan borang maklum balas di portal rasmi LHDNM melalui pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/.

"Selain itu, melalui media sosial rasmi LHDNM, iaitu Facebook - https://www.facebook.com/LHDNM, Twitter https://twitter.com/LHDNMofficial," kata LHDN.

Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan perkara di atas dengan melayari portal rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my atau klik pada pautan soalan lazim (FAQ) GKP di http://www.hasil.gov.my/pdf/pdfam/FAQ_GKP_1.pdf.

GKP diwujudkan oleh kerajaan sebagai satu inisiatif bagi membantu syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro dalam aliran tunai perniagaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Geran khas sebanyak RM3,000 disediakan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN PKS) kepada setiap syarikat PKS mikro yang layak dan dijangka memanfaatkan hampir 700,000 PKS mikro di seluruh negara.

Berita Harian X