Isnin, 4 Mei 2020 | 2:38pm
Pekerja kedai pakaian di bangunan Malayan Mansion, di Jalan Masjid India membuat persiapan untuk beroperasi. - NSTP/Aizuddin Saad
Pekerja kedai pakaian di bangunan Malayan Mansion, di Jalan Masjid India membuat persiapan untuk beroperasi. - NSTP/Aizuddin Saad

Masjid India sudah bebas dari PKPD

KUALA LUMPUR: Kawasan Masjid India yang sebelum ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kini sudah dibuka kepada umum.

Tinjauan BH di sekitar kawasan Masjid India, hari ini, mendapati kawat duri yang sebelum ini dipasang di setiap laluan dan penjuru masuk ke kawasan itu juga sudah dibuka.

Malah, flat Selangor Mansion dan Malayan Mansion yang dikenakan PKPD sejak 7 April lalu sebelum seluruh Masjid India ditutup sepenuhnya, juga dibuka.

Sebahagian peniaga premis perniagaan di bawah dua flat itu, didapati sibuk membersihkan kedai, selain memasang pita pelekat di lantai bagi memastikan penjarakan sosial satu meter kepada pelanggan mereka.

Sementara itu, peniaga kedai runcit di Malayan Mansion, Sajahan Wahab, berkata beliau sudah dimaklumkan pihak berkuasa untuk membuka semula perniagaannya esok.

"Kedai saya sudah tutup lebih sebulan dan hari ini saya membuka kedai runcit ini untuk proses pembersihan. Esok akan mulakan operasi dengan meminta pelanggan untuk menjarakkan diri ketika membeli barang.

Penghuni Malayan Mansion dibenarkan keluar selepas kerajaan menarik balik arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketika tinjauan hari pertama PKP Bersyarat (PKPB) di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. - NSTP/Aizuddin Saad
Penghuni Malayan Mansion dibenarkan keluar selepas kerajaan menarik balik arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketika tinjauan hari pertama PKP Bersyarat (PKPB) di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. - NSTP/Aizuddin Saad

Pekerja kedai pakaian di bangunan Malayan Mansion, di Jalan Masjid India membuat persiapan untuk beroperasi. - NSTP/Aizuddin Saad
Pekerja kedai pakaian di bangunan Malayan Mansion, di Jalan Masjid India membuat persiapan untuk beroperasi. - NSTP/Aizuddin Saad

"Setakat ini, saya yakin dengan tindakan pihak berkuasa membersihkan kawasan Masjid India daripada wabak COVID-19 dan akan memastikan pelanggan memakai topeng penutup mulut dan hidung serta menjarakkan diri," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, pengurup wang asing, Zamri Abdul Halim, berkata khidmat tukaran mata wang asing di kedainya akan memulakan operasi esok dengan mengutamakan langkah penjarakan sosial dan menjaga kebersihan.

"Hari ini kami memasang pita pelekat dalam jarak 1 meter untuk persediaan esok dan akan memastikan hanya dua pelanggan dalam premis pada satu-satu masa.

"Pelanggan lain diminta beratur dengan jarak sudah ditetapkan berdasarkan pemasangan pelekat biru di lantai," katanya.

Zamri berkata, beliau akan memendekkan waktu perniagaannya, selain mengelakkan pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat tukaran wang tidak berkumpul di hadapan kedai.

Selepas 21 hari diisytiharkan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Masjid India dan kawasan sekitarnya dibenarkan beroperasi semula pada hari pertama penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini. - Foto BERNAMA

Tinjauan turut mendapati penghuni di dua flat berkenaan turut mengambil kesempatan membeli barang keperluan di kedai di bahagian bawah kediaman mereka serta premis sekitar Masjid India.

Bagaimanapun, hampir 70 peratus lagi premis perniagaan masih belum dibuka dan berkemungkinan akan membuka kedai mereka dalam tempoh terdekat.

Semua laluan masuk ke Masjid India terutama melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak, Jalan Munshi Abdullah dan Jalan Dang Wangi juga boleh digunakan seperti biasa.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata pihaknya sudah menubuhkan pasukan pemantau yang akan melakukan pemantauan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM), iaitu penjarakan sosial diamalkan.

"Pasukan pemantau ini akan memberi nasihat, teguran dan amaran kepada orang ramai di kawasan berkenaan (Masjid India) untuk memastikan mereka tidak berkumpul serta sentiasa mengamalkan penjarakan sosial.

"Kita akan pastikan perkara ini secara serius bagi mengekang penyebaran dan penularan COVID-19," katanya ketika dihubungi.

Berita Harian X