Rabu, 6 Mei 2020 | 5:15pm
Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu (JPNT), Salim Ab Ghani melancarkan e-Learning Terengganu menerusi YouTube. - Foto YouTube
Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu (JPNT), Salim Ab Ghani melancarkan e-Learning Terengganu menerusi YouTube. - Foto YouTube

Terengganu perkenal e-Learning

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mewujudkan portal e-learning Terengganu untuk dimanfaatkan guru dan pelajar bagi menyemarakkan inisiatif pembelajaran di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majlis pelancaran penggunaan portal itu disempurnakan Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Salim Ab Ghani semalam yang disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran JPNT, Azman Othman, berkata pembangunan portal itu adalah naratif baharu pendidikan sebagaimana saranan Kerajaan Persekutuan yang mahukan pembelajaran perlu terus diperkasa walaupun dalam tempoh PKP.

"Portal ini bukan sahaja menempatkan bahan yang dibangunkan guru berpengalaman tetapi turut menerima sumbangan bahan pembelajaran pendidik dari dalam serta luar Terengganu.

"Kami ingin memberi sokongan kepada guru untuk melaksanakan pembelajaran di rumah supaya pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran dan boleh belajar dalam suasana yang selamat serta selesa dengan bantuan ibu bapa mereka," katanya, semalam.

Pengisian portal itu mengandungi bahan pembelajaran untuk subjek utama sekolah rendah serta sekolah menengah, termasuk intervensi pembelajaran (MIP) untuk murid Tahun Enam dan pelajar Tingkatan Lima.

Sementara itu, Salim berkata, bagi pelajar yang tidak mempunyai capaian internet ataupun kelajuan capaiannya kurang, pihaknya akan menghantar bahan pembelajaran ke pondok pengawal keselamatan di sekolah sebelum diambil ibu bapa dan penjaga mereka.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X