Khamis, 7 Mei 2020 | 8:46pm

Pertimbangan ambil kira ekonomi negara, rakyat

KEMUNCULAN Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri, dinantikan ramai setiap jam 2 petang. Ia menjadi normal baharu rakyat yang ingin mengetahui perkembangan terkini COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan.

Wartawan BH, M THILLINADAN dan ROHANIZA IDRIS menemubual beliau di Putrajaya bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai pelaksanaan PKP serta kehidupan baharu beliau sebaik dilantik menjadi jurucakap kerajaan dalam isu berkenaan. Ikuti wawancara itu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Soalan (S): Setiap jam 2 petang, ramai yang menunggu Datuk Seri untuk bersiaran secara langsung dan pastinya baju-baju yang dipakai Datuk Seri menjadi tumpuan, malah ia menjadi viral dalam kalangan kaki fesyen dan disamakan dengan kuih muih juadah berbuka puasa. Siapa yang menata rias Datuk Seri?

Ismail Sabri (J): Saya gembira jika kemunculan ditunggu-tunggu, maknanya rakyat memang menunggu berita dan perkembangan terkini mengenai status COVID-19. Rakyat hendak mendengar dan mengetahui keadaan sebenar pematuhan PKP. Bagi saya itu suatu yang baik, apabila rakyat Malaysia ambil peduli dan mahukan maklumat terus dari kerajaan.

Mengenai baju itu, saya seronok disamakan dengan kuih-muih, maklumlah pada bulan puasa ini, saya faham semua orang fikir pasal kuih. Saya anggap perkara ini satu yang positif kerana rakyat pun teliti dengan apa yang saya lakukan. Sebab itu, saya tidak boleh melakukan apa-apa kesilapan, hal seperti baju saya pun rakyat memberikan tumpuan. Dalam hal baju ini, sudah tentu isteri dan saya bincang bersama memandangkan kini hanya saya, isteri dan seorang anak saja di rumah.

Sudah tentu apa yang saya lakukan, termasuk apa yang hendak dipakai, warna baju dan padankan baju dan seluar dan sebagainya saya bincang dengan isteri saya. Lebih-lebih lagi menantu saya, pereka fesyen, Jovian Mandagie, turut memberi nasihat.

S: Apakah cabaran terbesar dalam mengendalikan sidang media dengan pertanyaan yang disiarkan terus di televisyen dan media sosial. Datuk Seri nampak tenang menjawab semua soalan.

J: Mesej saya mesti boleh difahami rakyat, perlu jelas dan tidak terkeliru, sebab itu saya menggunakan bahasa mudah, penjelasan yang mudah dan jelas. Saya juga perlu bersedia dengan jangkaan soalan kerana jika tidak boleh jawab, maka keyakinan orang ramai terhadap kerajaan akan terjejas, walaupun itu kesilapan saya. Saya mewakili kerajaan, jadi saya hendak supaya rakyat yakin dengan apa yang saya sampaikan.

Sebab itu, cabarannya sangat besar jika saya tidak dapat jawab soalan, sudah tentu rakyat tidak yakin dengan apa yang saya perjelaskan. Ini isu besar kerana membabitkan nyawa. Sebab itu rakyat apabila melihat saya, mereka mahukan jawapan yang meyakinkan, penyampaian meyakinkan kerana mungkin ini dapat menenangkan rakyat dalam keadaan sekarang. Jika kerajaan bagus mengendalikannya, tetapi jawapan tidak jelas maka ia boleh menjejaskan imej kerajaan.

S: Bagaimana Datuk Seri dapat menyesuaikan diri kerana sebaik saja mengangkat sumpah jawatan bersama ahli Kabinet yang lain terpaksa menangani isu COVID-19 ini.

J: Sebab itu, setiap hari ada mesyuarat jawatankuasa khas menteri-menteri mengenai COVID-19. Segala input itu, dapat kita kumpulkan bersama. Maklumat mengenai COVID-19 ini adalah satu yang baharu. Jika isu lama membabitkan kementerian, saya boleh pelajari dengan menyemak fail lama dan lihat keputusan mesyuarat yang lalu. Dalam hal COVID-19 ini, saya tidak boleh kaji dan lihat fail yang lama, kerana tiada. Ini satu isu yang baharu.

Apabila Perdana Menteri mengarahkan ahli Kabinet duduk bersama setiap pagi membincangkan isu berkaitan Covid-19 ini, ia sebenarnya memudahkan saya untuk memahami. Saya belajar sesuatu baharu setiap hari apabila setiap kementerian memberikan input. Jadi sebab itu walaupun ini perkara baharu, dengan adanya mesyuarat ini memudahkan saya memahami situasi semasa dan menyampaikan kepada rakyat.

S: Bagaimana dengan suasana mesyuarat harian yang dihadiri Datuk Seri. Difahamkan ada kala mesyuarat hangat kerana menteri dan pegawai ada pandangan masing-masing berhubung isu dibincangkan.

J: Isu COVID-19 membabitkan nyawa rakyat, jadi sudah tentu perbincangannya serius. Jadi kadang-kadang berlaku perbezaan pendapat dan menyebabkan agak tegang. Namun, yang penting keputusan bersama dicapai dan semua bersetuju. Sebelum ada keputusan mungkin ada yang berbeza pendapat, ada yang tidak puas hati dan sebagainya tetapi akhirnya keputusan bersama dicapai.

S: Dalam tempoh 50 hari ini sejak PKP mula dilaksanakan, sudah tentu berlaku perubahan dalam hidup Datuk Seri kerana terpaksa menangani isu COVID-19 dan sudah tentu masa tidak banyak untuk keluarga dan tidak dapat berjumpa rakyat kawasan parlimen. Bagaimana dengan rutin Ramadan kali ini dan persiapan raya.

J: Rutin saya hampir separuh hari di Kompleks Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. Setiap pagi tujuh hari seminggu, tiada cuti sana sini. Setiap hari dari jam 9 pagi sampai 12 tengah hari hadir mesyuarat khas menteri-menteri dan setiap dua atau tiga hari sekali diadakan mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin pada jam 11.30 pagi. Bermakna, kalau saya bermesyuarat jam 9 pagi jika ada mesyuarat MKN, saya terpaksa berhenti mesyuarat khas menteri pada jam 11.20 pagi untuk hadir mesyuarat MKN.

Biasanya jam 2 petang akan diadakan sidang media dan di antara waktu itu saya perlu membuat persediaan untuk sidang media berkenaan, membuat deraf mengenai apa yang saya akan sampaikan dan sebagainya. Biasanya sidang media selesai jam 2.30 petang. Selepas itu, saya akan berehat untuk makan dan solat. Saya beredar dari Putrajaya sekitar jam 3 petang untuk ke Kementerian Pertahanan. Kementerian itu adalah tanggungjawab hakiki saya. Saya berada di kementerian sehingga jam 7 atau 8 malam, malah kadang-kala terpaksa makan malam di pejabat.

Saya akui waktu dengan keluarga memang kurang dan menyedihkan saya tidak dapat bersama dengan cucu kerana dulu dua kali seminggu wajib berjumpa dengannya. Sekarang tidak boleh berjumpa kerana PKP. Malah, saya tak dapat pulang ke kawasan saya (Parlimen Bera). Kalau saya balik orang akan tahu, sedangkan saya yang keluarkan arahan tidak boleh merentas negeri. Jika rentas negeri akan diambil tindakan tegas. Jadi, saya tidak boleh balik, saya harap orang di kawasan saya faham kerana saya ada tugas lebih besar untuk negara. Dengan keluarga masa terlalu sedikit, saya sedih tetapi ini kerja dan amanah yang perlu saya galas. Persiapan raya seperti diumumkan Perdana Menteri kita tidak boleh balik raya, kita beraya di rumah sahaja dan pakai kain pelikat.

S: Bagaimana Datuk Seri mengekalkan stamina dan kesihatan sepanjang tempoh ini sehingga dikatakan ada kala terpaksa makan mi segera kerana kesibukan?

J: Pertamanya, jika kita minat dengan kerja kita, kita akan rasa bertenaga. Ini memang biasa, saya minat kerja saya. Lebih-lebih lagi kerja seumpama ini, kita sudah biasa lakukan. Bagi orang politik kerja sepanjang masa ini satu kebiasaan. Kerja di pejabat lima hari seminggu itu biasa dan dua hari hujung minggu kita di kawasan. Sudah tentu, saya ada juga mengambil makanan tambahan seperti pil vitamin C dan multivitamin. Itu saja, yang lain itu kerana kita rasa mahu lakukan dan kena buat apa yang sepatutnya kita buat. Jangan kata saya tidak penat, itu bohong, kerana saya memang penat dan letih.

Namun, satu yang menjadi kebiasaan saya akan cuba menjawab semua mesej yang saya terima (WhatsApp), kadang-kadang sampai jam 1 hingga 2 pagi. Saya rasa bersalah jika tidak menjawab mesej yang orang hantar walaupun dengan jawapan sekadar terima kasih atau paling pendek ok. Biasanya saya jawab personal message dulu, cuma group WhatsApp saya tidak sempat. Kadang-kadang, banyak cadangan rakyat dihantar melalui WhatsApp ini bagus untuk kita pertimbangkan. Banyak juga cadangan itu, saya bawa dalam mesyuarat pagi. Sebab itu, setiap mesej yang diterima itu saya periksa satu persatu walaupun banyak. Penat memang penat, tetapi kita kena bertanggungjawab dan saya sudah diamanahkan menjadi jurucakap kerajaan, saya terima dengan penuh tanggungjawab. Ini amanah yang perlu saya tanggung.

S: Bagaimana dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau PKP 5 pada hari pertama dan kedua pelaksanaannya? Adakah kerajaan puas hati?

J: Polis melaporkan banyak kereta yang keluar, lebih banyak berbanding hari sebelumnya, tetapi keadaan terkawal, malah di luar jangkaan. Saya jangkakan untuk hari pertama, orang akan keluar beramai-ramai macam hari raya, 'yahoo' kerana sudah lama tidak keluar, tetapi itu tidak berlaku. Saya rasa rakyat kita sudah faham dengan mendisiplinkan diri dan kawalan kendiri. Media juga ada buat liputan di stesen LRT, nampaknya ada penjarakan sosial begitu juga di butik pakaian, mereka mengamalkan penjarakan sosial, tidak membenar pelanggan mencuba kasut dan pakaian malah bilik untuk mencuba pakaian ditutup dan ditetapkan mengambil suhu badan pelanggan sebelum dibenarkan masuk.

Saya juga lihat orang ramai mengamalkan penjarakan sosial sehingga sanggup beratur panjang untuk masuk ke pasar raya. Rakyat patuh. Ramai yang mengkritik PKPB dengan alasan bimbang rakyat tidak patuh sehingga berlaku keadaan tidak terkawal. Namun tidak berlaku seperti itu, walaupun mungkin ada kes tertentu yang tidak patuh, tetapi secara keseluruhannya kita puas hati. Saya ucapkan terima kasih kepada rakyat kerana buat kawalan kendiri.

S: Bagaimana jika kes positif COVID-19 kembali meningkat selepas pelaksanaan PKPB kerana banyak sektor sudah dibuka dan apakah kayu pengukur untuk menarik balik perintah itu dan bersediakan Malaysia jika berlaku gelombang kedua seperti di negara lain.

J: Kita ada bincangkan perkara ini. Sekarang ini, kita melaksanakan PKPB berdasarkan kepada lokaliti. Contohnya ada satu kawasan tiba-tiba menjadi zon merah, kita akan 'tutup' kawasan itu sahaja bukan seluruh negara. Sebelum PKPB dilaksanakan semua terikat dengan peraturan tidak boleh keluar kerana kita 'tutup seluruh negara'. Sekarang kita hanya 'tutup' kawasan tertentu sahaja. Kita sasarkan mengikut kluster dan fokus kumpulan yang ada kontak dengan kluster berkenaan.

Contohnya, kluster tabligh dan gereja, kita fokus kepada kumpulan itu sahaja. Beberapa hari lalu, dua kes berturut-turut di tapak pembinaan, kes positif COVID-19 tiba-tiba meningkat mendadak dalam kalangan pekerja. Sebab itu, dengan pelaksanaan PKPB kita tutup terus kawasan itu dan kini kita fokus kepada kluster baharu-kluster pekerja warga asing. Sebab itu, kita tetapkan semua pekerja warga asing perlu menjalani ujian saringan COVID-19 terutama di kawasan pembinaan. Pekerja asing di kawasan pembinaan diutamakan dahulu selepas itu sektor yang lain. Apa-apa yang berlaku kita akan mengambil fokus bersasar mengikut sektor dan kawasan supaya kita tidak tutup seluruh negara. Insya-Allah kita akan tengok balik, jika tercetus kembali kes positif yang naik mendadak kita akan buat keputusan waktu itu, apa yang patut kita lakukan.

S: Ada rakyat yang membuat petisyen membantah PKPB, begitu juga pakar kesihatan dan petugas barisan hadapan yang menyatakan terlalu awal untuk melaksanakannya. Mengapa kita melakukan PKPB dalam keadaan terburu-buru?

J: Sebenarnya kita tidak terburu-buru atau tergesa-gesa melakukan PKPB. Jika kita lihat betul-betul, sejak dari mula lagi tindakan yang kerajaan ambil adalah secara berperingkat-peringkat. Mula-mula kita benarkan syarikat berkaitan dengan ubat-ubatan dan makanan sahaja beroperasi. Restoran dibenarkan hanya untuk pelanggan beli secara bungkus. PKP seterusnya kita tambah lagi sektor dibenarkan, tetapi jumlah pekerja hanya 50 peratus. Selepas itu, kita tambah kilang yang boleh beroperasi dengan pekerja sepenuhnya. Restoran dulu hanya bungkus saja, kini kita benarkan makan di dalam restoran dengan penjarakan sosial. Bermakna, bukan kita buat semua dalam satu masa, kita buat berperingkat-peringkat. Mulanya, kita kata kedai makan hanya buka sehingga jam 8 malam dan orang kritik kata bagaimana dengan orang hendak beli makanan bagi bersahur.

Sekarang, kita benarkan sehingga jam 10 malam. Semuanya kita buat berperingkat-peringkat. Saya faham rakyat bimbang dan kita sudah mengambil kira kebimbangan itu. Sebab itu, kita tidak buka secara mendadak tetapi berperingkat-peringkat. Namun, prosedur operasi standard (SOP) yang kita tetapkan sangat tegas. Jika ada satu kes positif di dalam sektor itu maka kita akan terus tutup perniagaan. Kita buat semua ini dalam keadaan bersedia, kita akan selalu pantau dan melihat keberkesanannya.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

S: Apakah pertimbangan kerajaan ketika membuka semula sektor ekonomi. Ada pertanyaan mengapa sektor itu diutamakan, bagaimana pula dengan isu kesihatan rakyat yang sepatutnya diutamakan?

J: Pertamanya, kerajaan kerugian RM2.4 bilion sehari. Ramai yang menyatakan yang rugi itu 'tauke' besar dan mengapa kerajaan perlu melayan mereka. Kita jangan lupa bahawa jika syarikat besar tutup, pekerja akan hilang pekerjaan. Kebimbangan kita bukan hanya kerugian RM2.4 bilion sehari itu saja dan kerajaan juga tidak boleh bergantung kepada harga minyak yang harganya terlalu rendah kini. Apa yang lebih penting kita lihat kesan kepada rakyat, jika berterusan syarikat tidak dapat dibuka dan sebagainya. Kita jangkakan lebih 1 juta akan kehilangan kerja jika sektor ekonomi terus ditutup. Ini hanya kes membabitkan syarikat besar. Bagaimana pula dengan peniaga mikro? Memang benar kita boleh bantu dengan berikan bantuan RM3,000 seorang tetapi bukan selamanya.

Kita tidak boleh bantu peniaga kecil ini setiap masa. Saya tengok. semalam melalui laporan media, sedih saya, ada rakyat kita beratur di depan kedai pajak gadai. Ini berlaku kerana mereka tiada duit, menghadapi masalah kewangan kerana mungkin sebelum ini berniaga di warung dengan pendapatan RM60 sehari. Mereka ini lebih sebulan tidak berniaga, bagaimana hendak ada pendapatan. Itu sebab, kita akhirnya kena buat pertimbangan antara kesihatan dan ekonomi negara juga ekonomi rakyat yang miskin di bawah sana. Itu sebab kita buat ini (buka balik sektor ekonomi) dengan perancangan dan persediaan. Kita yakin kita boleh dan mampu menyelesaikannya. Akhirnya kesihatan dapat dijaga dan ekonomi rakyat dibantu serta pastikan tiada pembuangan pekerja secara besar-besaran apabila COVID-19 ini selesai.

S: Ada orang membuat perbandingan kedai judi (nombor ekor) dibenarkan beroperasi tetapi surau dan masjid tidak dibenarkan. Apa pandangan Datuk Seri?

J: Kedai perjudian ini saya kira tidak dibenarkan beroperasi. Dalam pengetahuan saya sepatutnya tidak dibuka, kerana tiada dalam senarai dibenarkan beroperasi. Namun, saya perlu lihat semula sama ada ia tersenarai atau dilarang beroperasi.

S: Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menolak cadangan saringan COVID-19 ke atas semua pekerja asing kerana majikan perlu menanggung kos kira-kira RM1.15 bilion. Adakah kerajaan perlu menanggung kos ini kerana majikan tidak mahu membayarnya?

J: Majikan ada dua pilihan iaitu jika ada seorang pekerja disahkan positif COVID-19, mereka perlu tutup perniagaan atau menyelamat satu yang positif atau keseluruhan kilang atau perniagaannya. Contohnya, kes di tapak pembinaan di Ampang, kita terpaksa tutup kerana ada kes positif COVID-19. Jika majikan tapak pembinaan itu buat ujian awal untuk COVID-19 sudah tentu kita tidak perlu tutup tempat itu dan hanya pesakit disahkan positif saja dirawat dan yang negatif boleh kembali bekerja. Kerajaan sebenarnya hendak menyelamatkan perniagaan mereka dan perkara ini mereka kena lihat secara positif. Kita hendak menyelamatkan perniagaan mereka, menyelamatkan nyawa pekerja sebab itu kita mewajibkan ujian saringan COVID-19. Pekerja asing di negara ini, lebih 60 peratus mencarum dengan PERKESO. Justeru, kos itu dibiayai PERKESO.

Bagi majikan yang menanggung sendiri pekerja ini mereka boleh berbincang dengan pekerja bagaimana kos berkenaan ditanggung bersama atau pekerja dipotong gaji untuk kos ujian berkenaan. Apa yang penting, kos ini adalah tanggungjawab majikan. Ini kerana yang tutup perniagaan dan rugi adalah majikan, bukan pekerja. Jadi majikan perlulah berkorban untuk pekerja mereka. Anggaplah pekerja sebagai keluarga dan semangat ini perlu ada pada semua majikan.

S: Bagaimana dengan keputusan berhubung solat Jumaat dan tarawih di masjid. Setakat ini, masih belum dibenarkan dan jika kes COVID-19 semakin menurun dan selepas 12 Mei selepas PKPB ditamatkan adakah ia akan dibenarkan semula.

J: Setakat ini, belum lagi diputuskan mengenainya. Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkaitan hal ehwal agama ada membentangkan cadangan tetapi kita belum membuat apa-apa keputusan. Kita akan bincang lebih lanjut dalam mesyuarat Kabinet. Cadangan itu bagaimanapun bukan untuk dilaksana dalam waktu terdekat. Jika mahu dilaksanakan pun seminggu atau dua minggu lagi. Lebih baik menteri yang berkenaan mengulas mengenainya.

S: Berhubung pelaksanaan PKPB, ada yang mendakwa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 4 sepatutnya berakhir 12 Mei, justeru PKPB ini boleh untuk tidak dipatuhi. Bolehkah PKPB melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) ini dicabar oleh mana-mana pihak melalui saluran undang-undang.

J: PKP4 diwarta 29 April hingga 12 Mei dan selepas itu kita laksanakan PKPB dan wartakan 4 Mei hingga 12 Mei, jadi secara automatik PKP4 terbatal dengan sendiri. Sama ada undang-undang ini boleh dicabar atau tidak, di negara ini apa saja undang-undang boleh dicabar. Semua undang-undang ini dicabar semua orang. Ini tidak ada isu.

S: Mengenai persidangan Dewan Rakyat, sudah ditetapkan pada 18 Mei ini dengan satu hari saja mesyuarat. Pembangkang membantah perkara ini dan ada yang mencadangkan sesi persidangan secara dalam talian. Apa pandangan Datuk Seri?

J: Parlimen sudah pun mengedarkan tarikh persidangan kepada Ahli Parlimen. Ini bukan satu yang menghairankan untuk bersidang selama satu hari. Negeri lain sudah pun mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri dan mereka pun bersidang sehari. Kita sudah lihat kedudukan di dalam Parlimen, penjarakan sosial mungkin sukar untuk dilaksanakan. Malah, untuk hari perasmian nanti Ahli Parlimen terpaksa duduk di tempat pegawai bertugas dan galeri dan sebagainya.

Ada cadangan menyatakan mengikut korum untuk 26 ahli saja, tetapi hak untuk hadir persidangan adalah hak semua Ahli Parlimen. Kita tidak boleh kata hari ini datang dan esok tidak perlu, kerana saya mahu hadir setiap hari. Persidangan Dewan Rakyat dalam talian belum dibincangkan lagi.

S: Apakah saranan dan nasihat Datuk Seri kepada rakyat dalam fasa PKPB ini dan ada kemungkinan PKP akan diteruskan selepas 12 Mei sehingga Aidilfitri?

J: Sama ada PKP akan diteruskan atau tidak, saya tidak boleh menjawabnya kerana ia terpulang kepada Kementerian Kesihatan. Apa yang penting untuk menjaga keselamatan diri adalah diri kita sendiri. Kita kena tanya diri sendiri, mahu menjaga keselamatan dan kesihatan atau tidak. Ya, sekarang kita bebas dan boleh keluar, tetapi perlukah kita bawa keluar anak kita usia tiga dan empat tahun pergi membeli-belah atau sebagainya. Jika jawapannya ya, maka jika ada apa-apa terjadi kepada anak kita, kita yang tanggung.

Jika kita hendak pastikan keselamatan anak kita sudah tentu kita tidak keluar. Sebab itu, kawalan kendiri itu amat penting, disiplin diri kita untuk menjaga keselamatan. Undang-undang boleh tulis apa saja, kalau kita hendak langgar kita boleh buat, sekarang pun ramai yang sudah langgar undang-undang. Jika tiada undang-undang pun tetapi tindakan kita boleh selamatkan diri kita maka tidak perlu ada undang-undang pun.

Kita buat untuk jaga kepentingan kita, diri kita, kita yang jaga, keluarga kita, kita sendiri yang jaga, begitu juga masyarakat sekeliling kita, tanggungjawab kita. Selama mana pun selepas PKP tamat, untuk menjaga kepentingan diri. Taiwan adalah contoh bagaimana kawalan kendiri rakyatnya berjaya mengawal COVID-19 di negara mereka. Tepuk dada tanya selera, hanya kita yang mampu mendisiplin diri, mengawal keselamatan dan kesihatan diri sendiri dan keluarga.

S: Mengenai penutupan pintu sempadan kepada warga asing, bilakah ia akan dibuka semula. Adakah seawal selepas PKPB berakhir?

J: Kita tidak tahu lagi dan setakat ini masih kekal tidak membenarkan kemasukan di semua pintu masuk negara ini termasuk kawalan di laluan sempadan melalui jalan tikus ini termasuk di Sabah dan Sarawak. Kita akan terus kawal kemasukan kerana kluster import sangat dibimbangi dalam penularan COVID-19 ini. Kita tiada kes jangkitan import setakat ini kerana kita tidak benarkan warga asing masuk walaupun ada dokumen.

Berita Harian X