Khamis, 14 Mei 2020 | 9:35pm
Tindakan akan diambil terhadap premis jual pelitup muka atasi harga siling. - NSTP/HASRIYASYAH SABUDIN
Tindakan akan diambil terhadap premis jual pelitup muka atasi harga siling. - NSTP/HASRIYASYAH SABUDIN

COVID-19: Premis jual pelitup muka RM2 sekeping hadapi tindakan

KUALA LUMPUR: Gedung menjual pakaian di Kelantan yang didakwa menjual pelitup muka melebihi harga siling akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata premis berkenaan akan diambil tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Kerajaan sudah mengumumkan harga siling pelitup muka ialah RM1.50 sekeping. Mereka jual RM10 dan ada lima (keping), maknanya satu berharga RM2 dan itu melebihi harga ditetapkan.

"Kalau jual melebihi harga siling mereka melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan boleh diambil tindakan.

"Harap KPDNHEP dimaklumkan mengenai gedung itu untuk diambil tindakan undang-undang," katanya pada sidang media selepas selepas Mesyuarat Khas Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan sebuah gedung menjual pakaian di Kelantan yang memaksa pengunjung memakai pelitup muka sebelum memasuki premis dan menjualnya pada harga RM10 sepaket yang mengandungi lima keping.

Menjawab soalan media mengenai anggota polis mendakwa lewat menerima elaun bertugas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangani perkara itu.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X